Kerajaan selaras kuota BUDI95 kepada 200 liter mulai 1 April

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 7:42 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyelaraskan kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini bagi memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global serta kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan dan ekonomi dunia.

Katanya, penyelarasan tersebut tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna kerana data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

“Kita meneliti penggunaan BUDI95 dan mendapati purata penggunaan adalah sekitar 100 liter sebulan, bermakna majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter.

“Hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, maka mereka tidak terjejas dengan penyelarasan ini,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan akan menyelaraskan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 sementara menunggu keadaan pasaran minyak dan ekonomi dunia kembali stabil.

Pada masa sama, beliau menegaskan harga BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter bagi meringankan beban rakyat.

Selain itu, had siling penggunaan sehingga 800 liter bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig turut dikekalkan mengambil kira keperluan pekerjaan mereka. -MYBERITA