
KUALA LUMPUR - Kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak bakal ditambah melebihi kadar semasa menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan demi memelihara semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memastikan imbangan kuasa perwakilan bagi kedua-dua negeri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan keputusan penting itu telah dipersetujui secara prinsip dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu.
“Walaupun dalam perjanjian MA63 itu dengan penyertaan Singapura… satu pertiga daripada Singapura, Sabah, Sarawak. Sekarang ini tentunya kurang. Jadi keputusan kita adalah mesti menambah nisbah Sabah, Sarawak.
“Keputusan ini penting dan telah kita persetujui pada prinsip lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Sidang kemuncak itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Anwar meyakinkan bahawa penambahan berkenaan bukan sekadar menambah bilangan angka kerusi, sebaliknya memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak bertambah kukuh di Dewan Rakyat.
Mengulas mengenai desakan sama ada sasaran 40 peratus kerusi Parlimen dipenuhi, beliau menjelaskan mekanisme serta perincian lanjut perlu dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau bagaimanapun menambah bahawa keterikatan dengan proses rundingan dan garis masa Perlembagaan menyebabkan ketetapan sama ada ia sempat dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang masih belum dapat dipastikan.
Selain isu perwakilan Parlimen, mesyuarat MTPMA63 turut memberi lampu hijau kepada penegasan agenda Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan:
Fasa Pertama: Kerja-kerja mempercepat penambahan perjawatan telah rasmi diselesaikan.
Fasa Kedua: Pelaksanaan akan disegerakan bagi memastikan pelantikan anak anak watan Sabah dan Sarawak mengisi jawatan-jawatan utama Persekutuan selaras perakuan Suruhanjaya Cobbold. - 11 September, 2026
The post Kerajaan setuju tambah nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, pinda Perlembagaan appeared first on Scoop.






