
GEORGE TOWN, 7 OKT: Kerajaan sedang membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas melampau dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius dari penghujung tahun ini hingga April tahun depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementeriannya turut mendapatkan pandangan pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi bagi mencari kaedah terbaik menghadapi perubahan cuaca berkenaan.
“Kita berada dalam persediaan mencari jalan, pakar-pakar teknologi AI, sains dan sebagainya, bagaimana untuk hadapi kalau cuaca mencecah 40 darjah Celsius daripada akhir tahun ini, sehingga dijangka pada bulan April tahun depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama dengan Presiden Parti Amanah Negara, di sini malam ini.
Beliau berkata persediaan awal penting, bagi memastikan kerajaan dan rakyat tidak panik sekiranya berlaku cuaca panas serta kering berpanjangan.
Mohamad berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk kemungkinan berlaku kekurangan air, yang boleh memberi kesan kepada sektor pertanian, termasuk aktiviti tanaman dan ternakan.
Beliau berkata maklumat serta ramalan awal berkaitan perubahan cuaca turut diambil kira, bagi membolehkan langkah sewajarnya dirancang lebih awal.
Dalam pada itu, Mohamad berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, dapat memberi perhatian kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan susulan cabaran yang dijangka dihadapi akibat fenomena El Nino.
“Saya agak mungkin ada kelebihan sedikit kepada Kementerian Pertanian, kerana antara masalah nak hadapi El Nino pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata isu bekalan air turut perlu ditangani lebih awal, bagi memastikan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara tidak terjejas sekiranya berlaku tempoh cuaca panas yang panjang.






