
KUALA LUMPUR – Kerajaan membayar RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), setakat 31 Ogos lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata baki komitmen Sukuk Islam dan Nota Jangka Sederhana (MTN) yang dijamin kerajaan ialah RM8.9 bilion, merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga matang pada 2039.
Katanya, keseluruhan tanggungan sudah dibayar dan masih perlu dibayar sebanyak RM51.4 bilion.
“Selepas mengambil kira pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, beban bersih kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta untuk menyatakan sasaran akhir bagi menyelesaikan baki liabiliti bersih 1MDB yang kini dianggarkan RM20.1 bilion, termasuk jumlah aset dan tuntutan yang masih dalam proses pemulihan.
Katanya, ketika ini kerajaan melalui 1MDB giat merundingkan pampasan, mendapatkan semula aset dan dana berkaitan melalui tindakan undang-undang serta mekanisme pemulihan aset di dalam dan luar negara.
The post Kerajaan bayar RM42.5 bilion hutang, komitmen 1MDB appeared first on Kosmo Online.





