
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Beluran daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mempersoalkan keperluan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara tujuh ahli parlimen pembangkang dengan kerajaan ketika blok kerajaan sudah mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk meluluskan rang undang-undang termasuk pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.
Katanya, CSA lazimnya dimeterai oleh kerajaan minoriti yang tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk meluluskan rang undang-undang.
“Namun, kerajaan sekarang bukan sahaja mempunyai majoriti selesa, malah menguasai majoriti dua pertiga.
“Adakah CSA itu menunjukkan kerajaan tidak stabil dan memerlukan tambahan sokongan daripada pihak pembangkang?” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Ronald berkata, peruntukan kawasan Parlimen tidak seharusnya dijadikan senjata politik untuk mendapatkan sokongan tambahan daripada pihak tertentu.
Sebaliknya, beliau berkata, agihan perlu dibuat secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.
“Kerajaan tidak boleh menggunakan kuasa, pengaruh dan kekuatan majoritinya untuk menggunakan peruntukan sebagai senjata politik. Kalau itu berlaku, ia perlu dihentikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut kerana ia membabitkan prinsip keadilan dalam pemberian peruntukan kepada wakil rakyat.
Ronald turut menggesa undang-undang berkaitan pemberian peruntukan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen dibentangkan bagi mengelakkan agihan bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri.
Beliau juga mempersoalkan kesesuaian CSA sebagai mekanisme untuk memastikan pemberian peruntukan yang adil kepada semua Ahli Parlimen.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani CSA akan disalurkan segera selepas Belanjawan 2027 diluluskan di Parlimen.
Pada 29 Oktober lalu, enam Ahli Parlimen Bersatu diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeterai CSA dengan kerajaan sebagai komitmen menyokong Belanjawan 2027.
Perjanjian itu antara lain menetapkan dua reformasi utama dilaksanakan sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa, iaitu mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Kerajaan turut bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat Bersatu dengan jumlah sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan.
Selain enam wakil rakyat Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) serta enam Ahli Parlimen Bebas yang dipecat daripada Bersatu turut menandatangani perjanjian tersebut. – UTUSAN
The post ‘Kerajaan sudah kuasai dua pertiga, mengapa perlu CSA?’ appeared first on Utusan Malaysia.






