
KUALA LUMPUR: Kenyataan berhubung pembatalan beberapa projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai cubaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mensabotaj kerajaan Madani.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, kenyataan itu seolah-olah memberi gambaran kerajaan tidak prihatin terhadap masalah infrastruktur di kedua-dua negeri serta masyarakat luar bandar di Semenanjung.
Katanya, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan sudah memberikan penjelasan berhubung dakwaan peruntukan projek berkenaan dikorbankan.
“Disebabkan perkara ini, timbul polemik di luar sehingga rakyat marah kepada kerajaan Madani. Namun, Menteri Kewangan memberikan penjelasan bahawa tiada sebarang pemotongan dibuat. Bagan Datuk cuba mensabotaj kerajaan Madani,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim membantah tuduhan berkenaan dan meminta Rayer menarik balik perkataan ‘sabotaj’.
“Apa yang dibuat oleh Jelutong adalah sangkaan jahat terhadap Timbalan Perdana Menteri. Perkataan itu perlu ditarik balik.
“Ini Timbalan Perdana Menteri Negara. Mana boleh membuat sangkaan jahat begitu? Itu tuduhan berat yang melibatkan soal keselamatan negara,” katanya.
Namun begitu, Rayer tetap mempertahankan kenyataannya, malah mendakwa Zahid bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Madani.
“Sudah terang lagi bersuluh, Bagan Datuk bersekongkol dengan sebelah sana (pembangkang) untuk cuba mensabotaj kerajaan Madani,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul meminta Rayer mengemukakan usul sekiranya mahu kenyataan Zahid dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Masukkan usul jika merasakan hujah Yang Berhormat boleh menjurus kepada Bagan Datuk dihadapkan ke jawatankuasa Parlimen. Sila masukkan usul,” katanya.
Minggu lalu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mendakwa beberapa projek pembangunan luar bandar bagi 2026 di Sabah dan Sarawak dibatalkan meskipun peruntukannya sudah disediakan.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar.
Menurut Zahid, arahan pembatalan berkenaan dikeluarkan oleh ketua setiausaha kementerian, namun beliau tidak menyatakan kementerian terbabit atau jumlah projek yang terjejas. – UTUSAN
The post Rayer tuduh Zahid cuba sabotaj kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.






