PN tak mahu CSA demi peruntukan, teliti isu disiplin – Takiyuddin

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 10:08 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perikatan Nasional (PN) menegaskan tidak akan berunding atau menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) semata-mata bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

Image from: PN tak mahu CSA demi peruntukan, teliti isu disiplin – Takiyuddin

Foto: Astro Awani

Memetik laporan Utusan Malaysia, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, CSA yang dimeterai enam Ahli Parlimen BERSATU diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan keputusan wakil rakyat terbabit dan bukannya pendirian rasmi gabungan.

Menurutnya, langkah itu mengetepikan PN sebagai gabungan politik serta blok pembangkang.

“CSA itu adalah pilihan mereka sendiri sebagai ahli Parlimen. Kebetulan, ahli Parlimen yang menyertai CSA ini adalah daripada kumpulan yang tidak bersama secara aktif dalam PN, iaitu kumpulan Bersatu sendiri, kumpulan bekas Bersatu yang dahulu melompat parti dan juga Muda.
“Jadi, PN tidak terlibat dalam perundingan dan pemeteraian itu. Kami tidak terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, enam Ahli Parlimen BERSATU menandatangani CSA dengan kerajaan pada Khamis lalu, dengan pelaksanaan dua reformasi institusi menjadi antara perkara yang dipersetujui.

Wakil rakyat diketuai Muhyiddin itu mahu had tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan sebelum penggal pentadbiran semasa berakhir.

Sebagai timbal balas, mereka akan menyokong Belanjawan 2027, manakala kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan pembangunan yang sama jumlahnya dengan peruntukan diterima Ahli Parlimen kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin mendakwa penggunaan logo BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum mendapat kebenaran PN.

Jelasnya, perlembagaan gabungan membolehkan parti anggota bertanding menggunakan lambang masing-masing, namun persetujuan PN perlu diperoleh terlebih dahulu.

“Dalam Perlembagaan PN, setiap parti anggota boleh menggunakan logo sendiri dengan kebenaran daripada PN. Tetapi, Bersatu setakat ini penggunaan logo mereka sendiri tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN. Jadi, tanpa kebenaranlah,” jelasnya..

Berhubung kemungkinan tindakan terhadap parti itu, beliau berkata, penelitian masih berjalan dan belum ada keputusan dibuat.

“Perkara itu kita akan teliti. Seperti yang kita sebut sebelum ini, PN akan meneliti kes-kes disiplin dan tatatertib oleh pihak Bersatu, tetapi masih dalam proses sekarang,” ujarnya.
Image from: PN tak mahu CSA demi peruntukan, teliti isu disiplin – Takiyuddin

Foto: Utusan

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyambut baik cadangan supaya pelaksanaan CSA diperluas kepada parti pembangkang.

Beliau berkata, kerjasama sedemikian boleh membantu membina persetujuan dalam kalangan Ahli Parlimen untuk melaksanakan reformasi institusi.

“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat.
“Kerjasama rentas parti yang lebih menyeluruh amat penting dalam membina konsensus Parlimen bagi menjayakan reformasi institusi khususnya pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun,” jelasnya.

Azalina turut menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan peluasan kerjasama itu kepada pembangkang.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil membidas pandangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa CSA tidak seharusnya dijadikan budaya politik baharu negara.

Fahmi mengingatkan bahawa perjanjian pada 2021 ditandatangani ketika PAS sendiri menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“CSA yang pertama ditandatangani pada 2021 sewaktu beliau berada dalam Kabinet. Jadi, budaya ini berlaku, bermula waktu dia (Pas) dalam Kabinet,” tambahnya lagi.

Sumber: Utusan Malaysia (Hafiz Saidina, Johanna Mumtaz Wanpa dan Amirul Aiman Osman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved