sarah28/10/2026 - 17:51 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Kerajaan belum membuat keputusan terhadap 24 permohonan baharu pembangunan pusat data di Malaysia sementara menilai kecukupan bekalan elektrik dan air bagi menampung keperluan industri berkenaan, dengan semua pengendali diwajibkan membayar kos utiliti mengikut kadar komersial tanpa subsidi kerajaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penilaian itu turut mengambil kira keperluan 117 pusat data yang telah mendapat kelulusan, selain kemampuan negara menyediakan bekalan tenaga tambahan melalui sumber boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga dan teknologi baharu.
"Sebanyak 24 permohonan baharu pusat data telah diterima, namun kita belum memberikan sebarang jawapan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan akan mendapatkan pandangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai kecukupan bekalan elektrik dan margin rizab tenaga sebelum mempertimbangkan kelulusan tambahan bagi memastikan keperluan industri lain tidak terjejas.
"Sekiranya bekalan sedia ada tidak mencukupi, kerajaan akan meneliti pilihan penjanaan di luar grid, termasuk penggunaan tenaga solar bersama sistem penyimpanan bateri," katanya.
Negeri tanpa bekalan air mencukupi tidak akan diberi kelulusan
Johari berkata, kerajaan negeri juga perlu mengesahkan kecukupan bekalan air sebelum sesuatu projek pusat data dipertimbangkan, memandangkan pembangunan industri itu memerlukan penggunaan sumber utiliti yang besar.
"Kalau negeri itu tak cukup air, walaupun dia ada tanah, kita tak boleh bagi kelulusan tersebut," katanya sambil menegaskan bahawa bekalan utiliti perlu dipastikan mencukupi sebelum pelabur membawa masuk modal besar untuk membangunkan pusat data.
Dalam pada itu, Johari berkata, semua syarikat pusat data dikenakan kos penggunaan elektrik dan air mengikut kadar komersial khas berasaskan pasaran semasa tanpa sebarang subsidi kerajaan bagi mengelakkan kos industri berkenaan dipindahkan kepada rakyat.
Kerajaan turut meningkatkan penalti terhadap kapasiti tenaga yang telah ditempah tetapi tidak digunakan bagi menangani masalah 'phantom demand', iaitu keadaan apabila pengendali memohon kapasiti elektrik yang besar tetapi penggunaan sebenar jauh lebih rendah.
Kandungan tempatan minimum 30% bagi pusat data baharu
Menurut Johari, kerajaan turut menetapkan syarat kandungan tempatan sekurang-kurangnya 30% bagi permohonan baharu pusat data, merangkumi perkhidmatan perundingan, pembinaan, operasi, pembekalan peralatan dan penyelenggaraan.
Beliau berkata, pertumbuhan industri pusat data berpotensi membuka peluang kepada syarikat tempatan dalam pembekalan bahan binaan, komponen elektrik, sistem pendawaian serta perkhidmatan teknologi bernilai tinggi.
Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), pelaburan industri pusat data dijangka mewujudkan 8,396 peluang pekerjaan setakat 30 Jun 2026, termasuk dalam bidang sains data, pengkomputeran awan, keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI). - DagangNews.com





