Peluru berpandu ganti NSM diumum bulan depan

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 8:14 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peluru berpandu ganti NSM diumum bulan depan

PETALING JAYA: Kerajaan akan membuat keputusan berhubung cadangan perolehan misil pengganti bagi sistem peluru berpandu antikapal (NSM) yang dibatalkan sebelum ini pada bulan depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan tersebut dibuat tanpa perlu menunggu proses tuntutan bayaran selesai daripada syarikat pengeluar NSM, Kongsberg Defence & Aero­space (KDA) buatan Norway.

Katanya, setakat ini tiga negara pengeluar bagi menggantikan misil tersebut telah disenarai pendek iaitu Perancis, Itali dan Turkiye.

“Proses perolehan misil itu akan mengambil masa antara tiga ke empat tahun.

“Ia mengambil untuk memastikan misil penganti itu dapat diintegrasi dengan sistem pengurusan tempur (CMS) kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)” katanya ketika sesi penggulu­ngan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Sebelum ini, kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal kepada Malaysia termasuk sistem pelancar berkaitan atas alasan melindungi keselamatan negara itu.

Kontrak perolehan NSM di­meterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai 124 juta Euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam buah LCS.

Susulan pembatalan itu, Malaysia mengemukakan tuntutan RM1.06 bilion terhadap KDA termasuk tuntutan langsung 129.86 juta Euro (kira-kira RM604 juta) iaitu bayaran yang sudah dibuat kerajaan.

Ia turut merangkumi tuntutan tidak langsung 96.26 juta Euro (kira-kira RM448.1 juta) membabitkan implikasi kos serta kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang tempur ringan (LCA) FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan pada Jumaat ini.

Beliau berkata, penerimaan pesawat berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan tempur udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus mening­katkan keupayaan pertahanan ruang udara negara.

Katanya, pesawat berkenaan akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang dan sebahagiannya di Pangkalan Udara Labuan, Sabah.

“Penerimaan pesawat ini adalah untuk memperkukuh keupayaan tempur udara ATM,” jelasnya.-UTUSAN.

The post Peluru berpandu ganti NSM diumum bulan depan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved