hamden24/11/2026 - 10:17 Lebuhraya Persekutuan - Gambar/ Klia2.Info Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti cadangan pembinaan lebuh raya bertol baharu sebagai langkah mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Persekutuan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kementeriannya telah menerima beberapa cadangan projek lebuh raya baharu daripada pihak swasta di mana cadangan projek tersebut melibatkan sebahagian atau sambungan daripada jajaran lebuhraya persekutuan.
"Cadangan-cadangan ini akan diperincikan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Pakatan Harapan) yang bertanya tentang pelan menyeluruh pihak Kementerian untuk mengatasi kesesakan kenderaan di Lebuh Raya Persekutuan mengambil kira pertambahan kawasan kediaman dan komersil yang semakin bertambah.
Menurut Alexander, penelitian berkenaan merupakan antara pendekatan yang sedang dipertimbangkan kerajaan bagi menangani kesesakan di laluan utama berkenaan, khususnya selepas tahap perkhidmatan jalan (LOS) Lebuhraya Persekutuan FT2 direkodkan pada tahap F, iaitu keadaan aliran trafik yang sangat sesak berdasarkan bancian trafik 2025.
Katanya, kesesakan di Lebuhraya Persekutuan turut dipengaruhi pertumbuhan pesat kawasan perumahan, perindustrian dan komersial di sepanjang koridor berkenaan.
Tiada cadangan bina laluan bertingkat
Bagaimanapun, kementerian itu ketika ini tidak bercadang melaksanakan projek pelebaran lebuh raya atau pembinaan laluan bertingkat di koridor berkenaan berikutan implikasi kos yang sangat tinggi.
Ini termasuk kos pengambilan balik tanah, khususnya di kawasan yang sudah pesat membangun, selain pengambilan aset sedia ada serta kemungkinan kesan sosial terhadap penduduk dan pemilik premis di kawasan terlibat.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan mengoptimumkan penggunaan rangkaian jalan raya sedia ada serta menggalakkan pengguna memanfaatkan pengangkutan awam bagi mengurangkan tekanan trafik.
Antara kemudahan yang dikenal pasti ialah perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam (LRT3) yang mula beroperasi pada 29 Jun 2026, menghubungkan Johan Setia ke Bandar Utama dengan kemudahan pertukaran ke Laluan LRT Kelana Jaya di Glenmarie.
Penggunaan LRT3 dijangka mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, sekali gus membantu mengurangkan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan.
Dalam pada itu, kerajaan turut meluluskan projek menaik taraf tiga persimpangan di Jalan Subang hingga Persiaran Jubli Perak (FT3214), Petaling, Selangor, dengan kos RM332 juta.
Projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf persimpangan serta pembinaan jejambat bagi menyediakan laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan yang dipengaruhi jumlah trafik dan kenderaan berat yang tinggi.
Laluan alternatif itu juga dijangka mengalihkan sebahagian aliran trafik daripada jalan sedia ada, termasuk Lebuhraya Persekutuan, sekali gus mengurangkan beban trafik di rangkaian jalan raya sekitar Shah Alam.
KKR menegaskan kerajaan kekal komited menangani kesesakan di Lebuhraya Persekutuan menerusi pendekatan menyeluruh dan bersepadu, merangkumi pengukuhan pengangkutan awam, penambahbaikan rangkaian jalan raya serta penyediaan laluan alternatif dengan mengambil kira aspek keberkesanan, kemampanan dan nilai untuk wang. - DagangNews.com




