
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti perancangan pembinaan lebuh raya bertol bagi mengatasi kesesakan di Lebuhraya Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementerian menerima beberapa cadangan projek lebuh raya baharu daripada pihak swasta yang melibatkan sebahagian atau sambungan daripada jajaran Lebuhraya Persekutuan.
“Cadangan-cadangan ini akan diperincikan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof mengenai pelan menyeluruh kementerian untuk mengatasi kesesakan di Lebuhraya Persekutuan serta cadangan pembinaan laluan bertingkat.
Menurut Alexander, berdasarkan bancian trafik pada 2025 di stesen banci berhampiran Pejabat KEMAS Selangor, tahap perkhidmatan jalan atau Level of Service (LOS) Lebuhraya Persekutuan FT2 berada pada tahap LOS F.

Katanya, keadaan itu menunjukkan aliran trafik yang sangat sesak.
Beliau berkata, KKR turut mengambil perhatian bahawa kesesakan di Lebuhraya Persekutuan dipengaruhi pertumbuhan pesat kawasan perumahan, perindustrian dan komersial di sepanjang koridor berkenaan.
"Bagaimanapun ketika ini, kementerian tidak bercadang melaksanakan pelebaran lebuh raya atau pembinaan laluan bertingkat di koridor tersebut kerana pelaksanaannya melibatkan implikasi kos yang sangat tinggi.
“Perkara ini berikutan kos pengambilan balik tanah yang tinggi, khususnya di kawasan yang telah pesat membangun, selain melibatkan pengambilan aset sedia ada serta berpotensi memberi kesan impak sosial kepada penduduk dan pemilik premis di kawasan terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pendekatan adalah mengoptimumkan penggunaan rangkaian jalan raya sedia ada termasuk pengguna memanfaatkan mod pengangkutan alternatif bagi mengurangkan tekanan trafik di koridor berkenaan.
Antara pilihan yang dinyatakan ialah perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam (LRT3) yang beroperasi pada 29 Jun 2026, menghubungkan Johan Setia ke Bandar Utama serta menyediakan kemudahan pertukaran ke Laluan LRT Kelana Jaya di Glenmarie.
Menurutnya, penggunaan LRT3 dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian sekali gus membantu mengurangkan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan.
"Selain itu, kerajaan meluluskan projek Menaik Taraf Tiga Persimpangan di Jalan Subang hingga Persiaran Jubli Perak (FT3214), Petaling, Selangor dengan kos RM332 juta.
"Skop projek melibatkan kerja menaik taraf persimpangan dan membina jejambat bagi menyediakan laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan yang dipengaruhi jumlah trafik dan kenderaan berat yang tinggi," katanya.
Jelas beliau, laluan alternatif itu juga dijangka dapat mengalihkan sebahagian aliran trafik daripada jalan sedia ada termasuk Lebuhraya Persekutuan, sekali gus membantu mengurangkan beban trafik di rangkaian jalan raya sekitar Shah Alam.
“Kementerian sentiasa komited untuk menangani isu kesesakan di Lebuhraya Persekutuan melalui pendekatan yang holistik dan bersepadu yang merangkumi pengukuhan pengangkutan awam, penambahbaikan rangkaian jalan raya dan penyediaan laluan alternatif,” katanya.




