
GEORGE TOWN: Kerajaan akan meneliti cadangan daripada pelbagai pihak termasuk industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat yang dikumpulkan menerusi sesi kumpulan fokus dalam siri Jelajah Belanjawan 2027 bagi memastikan belanjawan berkenaan lebih inklusif serta merangkumi keperluan pelbagai sektor.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, siri jelajah berkenaan penting bagi kerajaan memahami industri-industri utama yang menjadi penggerak ekonomi di setiap negeri.
Katanya, pendekatan menerusi siri Jelajah Belanjawan yang dijangka berakhir dalam tempoh terdekat itu penting bagi memahami keperluan sektor-sektor utama di setiap negeri sebelum cadangan berkenaan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
Menurut beliau, Pulau Pinang menjadi antara lokasi penting dalam siri jelajah berkenaan berikutan peranan negeri itu dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
“Kita datang ke Pulau Pinang ini ialah untuk jelajah belanjawan. Biasanya kita datang ke tiap-tiap negeri yang ada di Malaysia untuk memahami industri-industri yang penting.
“Pandangan yang dikumpulkan menerusi sesi kumpulan fokus dalam siri Jelajah Belanjawan akan diteliti kerajaan untuk melihat perkara yang boleh dimasukkan dalam Belanjawan 2027,” katanya selepas menghadiri Program Tinjau Pelaksanaan Sekolah Angkat Madani TM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor di sini hari ini.
Amir Hamzah berkata, sebelum tiba di Pulau Pinang, siri jelajah berkenaan turut membawanya ke Sabah bagi melihat potensi sektor Ekonomi Biru (Blue Economy) di sana serta ke Perak untuk meninjau perkembangan industri automotif.
Katanya, beliau turut dijadualkan melawat Kulim, Kedah bagi melihat sektor automotif selain bertemu peserta industri peranti perubatan di Pulau Pinang.
“Malaysia adalah antara negara yang maju dalam sektor peranti perubatan di mana kita membuat perkakasan-perkakasan perubatan, termasuklah kateter yang masuk dalam jantung, perentak jantung dan mengeksportnya ke luar negara.
“Sektor ini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi selain berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak turut membantu meningkatkan kualiti belanjawan kerana ia tidak hanya bergantung kepada cadangan kementerian dan agensi kerajaan.
“Cadangan-cadangan daripada industri, daripada NGO, daripada rakyat juga dimasukkan untuk memastikan belanjawan kita cukup padat dan cukup merangkum dalam semua sektor,” ujar beliau. – UTUSAN
The post Kerajaan teliti cadangan pelbagai pihak, pastikan Belanjawan 2027 lebih inklusif appeared first on Utusan Malaysia.






