Kerajaan teliti cadangan tangani kenaikan kos bahan binaan - Ahmad Maslan

LocalBusiness & Finance
8 Apr 2026 • 2:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Maslan (kanan) ketika sidang akhbar sempena lawatannya ke Akademi Binaan Malaysia Cawangan Sarawak (CIDB) di Petra Jaya, hari ini. - Foto: Bernama

KUCHING - Kerajaan Persekutuan sedang meneliti cadangan bagi menangani kenaikan kos bahan binaan susulan krisis tenaga global ketika ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan persatuan kontraktor minggu lepas bagi mendapatkan maklum balas mengenai situasi semasa dalam industri pembinaan, terutamanya berkaitan kenaikan harga bahan binaan.

"Walaupun bekalan bahan binaan mencukupi, namun peningkatan kos pengangkutan telah menyebabkan kenaikan harga bahan berkenaan.

"Kami mendengar semua pandangan mereka dan kami akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan. Isu harga ini turut melibatkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sarawak di sini hari ini.

Ahmad berkata, antara cadangan yang dikemukakan persatuan kontraktor ialah pelanjutan tempoh siap projek (EOT) yang terkesan, kawalan harga bahan binaan serta pemberian subsidi khas diesel bagi projek pembinaan tertentu.

"Kami dimaklumkan kadar kenaikan harga ini pelbagai, ada persatuan kontraktor memaklumkan peningkatan sekitar 30 peratus, ada juga 40 peratus, tetapi kita akan melihat data rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk jumlah kenaikan sebenar nanti," katanya.