IPOH – Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dengan mengambil kira pelbagai implikasi semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan situasi ekonomi semasa.
“Yang penting sekarang ialah kita utamakan bekalan dalam konteks memastikan barang keperluan itu ada seperti minyak masak, tepung, garam, gula, sayur, ikan, daging dan ayam.
“Kemudian kita akan lihat sejauh mana harga boleh dikawal. Itu yang sedang kita kaji pada peringkat awal,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program MADANI Rakyat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan turut mempertimbangkan beberapa langkah lain termasuk memberi kelonggaran kepada sektor perniagaan bagi mengurangkan kos operasi.
Jelasnya, antara cadangan yang sedang diperhalusi termasuk pengurangan cukai, levi atau bayaran tertentu selain kemungkinan menangguhkan pelaksanaan sistem e-invois.
“Kita juga melihat sama ada boleh memberi sedikit kelonggaran kepada perniagaan, termasuk dari segi cukai atau levi supaya dapat membantu mengurangkan beban.
“Ada juga cadangan berkaitan e-invois, sama ada boleh ditangguhkan. Itu semua sedang kita teliti untuk mengurangkan beban rakyat termasuk peniaga,” katanya.

