Kerajaan teliti had komisen e-hailing

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 11:54 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan teliti had komisen e-hailing

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti penetapan had komisen yang dikenakan oleh platform perkhidmatan e-hailing terhadap pemandu berdasarkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta hasil kajian yang sedang dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan mengambil maklum isu yang dibangkitkan pemandu berhubung cadangan penurunan komisen bagi meningkatkan pendapatan mereka secara lebih telus dan adil.

Katanya, Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang oleh kementeriannya dan Kajian Struktur Pampasan Yang Adil bagi Pekerja Gig di Malaysia oleh Kementerian Sumber Manusia dijangka selesai tahun ini.

“Kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menetapkan kadar komisen maksimum kepada pemandu e-hailing tidak melebihi 20 peratus bagi setiap perjalanan untuk kenderaan persendirian.

“Bagi kenderaan teksi, kereta sewa, teksi lapangan terbang dan teksi mewah pula, kadar komisen tidak melebihi 10 peratus bagi setiap perjalanan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung usaha kerajaan berbincang dan mendesak Grab menurunkan kadar komisen 20 peratus supaya lebih adil serta dapat meningkatkan pendapatan pemandu e-hailing.

Mengulas lanjut, Loke berkata, terdapat cadangan daripada pengendali platform e-hailing seperti Grab berhubung struktur tambang baharu yang lebih dinamik dan bersesuaian dengan keadaan sebenar perkhidmatan itu.

Katanya, kerajaan melalui kementeriannya meluluskan pelaksanaan pengujian konsep (POC) oleh Grab bagi meneliti keberkesanan struktur tambang baharu yang dikenali sebagai Grab Service Fee (GSF).

“Kadar komisen dicadangkan bersifat fleksibel bagi setiap perjalanan harian, tetapi tidak melebihi 20 peratus bagi purata komisen mingguan atau bulanan.

“Penetapan kadar komisen itu mengambil kira faktor jarak, lokasi dan tempoh perjalanan serta pergerakan dari lokasi penurunan penumpang sebelumnya ke lokasi pengambilan penumpang baharu secara masa nyata,” katanya.

Beliau berkata, status dan perkembangan pelaksanaan POC GSF dimaklumkan serta dikemas kini secara berkala oleh Grab kepada kementeriannya dan APAD.

Katanya, data Grab setakat 31 Mei lalu merekodkan seramai 170,944 rakan-pemandu memilih menyertai struktur tambang baharu itu dengan kadar GSF purata kekal 18 peratus dan kadar efektif 15 peratus.

Menurutnya, pendapatan bagi setiap minit transit rakan-pemandu yang menyertai struktur tambang baharu itu mencatat peningkatan berterusan melebihi enam peratus sejak pelaksanaan POC berbanding sebelum penyertaan. -UTUSAN

 

The post Kerajaan teliti had komisen e-hailing appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved