KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang meneliti kesan jangka pendek dan sederhana daripada pelbagai aspek susulan perkembangan politik di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan kekalahan Parti Republikan pada pilihan raya pertengahan penggal, Selasa lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan secara teliti dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, dan Malaysia akan terus memantau perkembangan tersebut termasuk kemungkinan implikasinya terhadap pelaksanaan tarif timbal balik.
"…tetapi hubungan kita dengan pentadbiran sekarang ini, kerajaan yang ada dan juga anggota Parlimen yang lama dan baharu serta anggota Dewan Perwakilan akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, dekat sini hari ini.
Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump dilaporkan tewas kepada Parti Demokrat yang berjaya merampas penguasaan Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa lepas.
Mengulas perkembangan itu dari sudut peribadi, Anwar menyambut baik perubahan berkenaan kerana melihatnya sebagai mesej penolakan rakyat terhadap politik berasaskan kebencian kaum dan agama, termasuk sentimen anti-Islam serta permusuhan terhadap golongan minoriti.
"Saya lihat umpamanya untuk dunia, ini sekurang-kurangnya bagi mesej yang lebih baik kerana kebanyakan menentang serangan dan permusuhan terhadap Islam atau permusuhan terhadap Iran. Jadi ini mudah-mudahan dapat meredakan ketegangan geopolitik antarabangsa,” katanya.
Perdana Menteri berkata, perkembangan itu turut menjadi pengajaran kepada Malaysia supaya menghindari politik kebencian, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membina masyarakat yang matang serta membanteras rasuah.
"...yang penting bagi kita, belajar di Malaysia ini apa? Ajar supaya jadi manusia yang bersih, bersihkan negara daripada kerakusan dan rasuah," kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Negara AS Marco Rubio semalam bagi membincangkan persiapan sekiranya pertemuan antara beliau dengan Trump diadakan di Manila, Filipina atau Shanghai, China.
Anwar berkata, AS turut menyuarakan harapan supaya ruang pelaburan syarikat negara itu khususnya dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, tidak terjejas di negara lain termasuk Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak akan menyekat pelaburan dari mana-mana negara, termasuk China, selagi syarikat berkenaan mematuhi peraturan serta kepentingan negara.
Beliau berkata, pelaburan Google bernilai USD15 bilion di Malaysia, misalnya, akan dipercepatkan dalam tempoh dua tahun, dengan syarikat itu perlu menanggung sendiri kos berkaitan bekalan air, latihan dan kemudahan universiti.
"Macam itu juga soal unsur nadir bumi...kita beri ruang mana-mana negara tapi syaratnya mesti proses dalam negara, mesti ikut beberapa peraturan negara dan tidak digunakan untuk peralatan yang dianggap senjata," kata beliau. - Bernama






