Kerajaan teliti penambahbaikan tarif elektrik, pelaksanaan baharu disasar bermula 2027 - Parlimen diberitahu

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 11:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan teliti penambahbaikan tarif elektrik, pelaksanaan baharu disasar bermula 2027 - Parlimen diberitahu Image from: Kerajaan teliti penambahbaikan tarif elektrik, pelaksanaan baharu disasar bermula 2027 - Parlimen diberitahu hamden18/11/2026 - 11:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) telah mengambil tindakan awal meneliti cadangan penambahbaikan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) sedia ada untuk dilaksanakan mulai 2027.

 

Langkah itu bertujuan memastikan mekanisme pelarasan bil elektrik lebih bersesuaian dengan keadaan semasa, khususnya ketika ketidaktentuan harga bahan api global memberi tekanan kepada kos penjanaan elektrik negara.

 

PETRA dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 17 November 2026 berkata, kajian berkenaan mengambil kira perkembangan pasaran tenaga global, termasuk krisis berterusan di Timur Tengah dan sekatan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

 

Keadaan itu katanya, mendorong kenaikan harga minyak mentah dan bahan api global, sekali gus meningkatkan kos penjanaan elektrik.

 

"Kerajaan sentiasa memantau pelaksanaan mekanisme AFA dan struktur tarif sedia ada dari semasa ke semasa," kata kementerian itu menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanya adakah Kerajaan bersedia mengkaji semula mekanisme AFA dan struktur tarif sedia ada sekiranya kos elektrik terus meningkat khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Hok Liong turut bertanya ada kerajaan akan menetapkan sasaran pengurangan bil elektrik rakyat dalam tempoh setahun akan datang.

 

RP5 dimuktamad tahun depan

PETRA berkata, Kerajaan juga akan memuktamadkan penetapan tarif asas elektrik yang baharu bagi Tempoh Kawal Selia Kelima (RP5) pada tahun hadapan di bawah kerangka IBR bagi tempoh 2028 hingga 2032. 

 

Dalam hal ini, Kerajaan akan memastikan sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil kira kepentingan pengguna di samping memastikan keterjaminan bekalan elektrik negara yang berdaya harap, mampu bayar dan mampan. 

 

Di bawah mekanisme AFA semasa yang menggantikan mekanisme Pelarasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) mulai 1 Julai 2025, bil elektrik pengguna diselaraskan menerusi pemberian rebat atau pengenaan surcaj berdasarkan kos bahan api sebenar setiap bulan.

 

Pengguna akan menerima rebat apabila kos penjanaan sebenar lebih rendah berbanding unjuran harga bahan api yang ditetapkan di bawah RP4.

 

Sebaliknya, surcaj dikenakan apabila kos sebenar melebihi unjuran berkenaan.

 

Suruhanjaya Tenaga turut menjalankan semakan dan pengesahan bulanan terhadap kos penjanaan, harga bahan api semasa serta kadar pertukaran mata wang asing yang dikemukakan oleh Single Buyer bagi memastikan kadar AFA mencerminkan kos sebenar.

 

Kementerian itu berkata, pelarasan automatik AFA tertakluk kepada ambang sehingga 10%, manakala sebarang kenaikan melebihi paras berkenaan memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved