hamden16/11/2026 - 09:41 Projek kondominium mewah pegangan bebas MAIA Mont’ Kiara, UEM Sunrise sudah mencatatkan tempahan melebihi 80%. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – UEM Sunrise Bhd dijangka mencatatkan peningkatan jualan antara 15% hingga 20% pada 2027 berbanding sasaran RM1.3 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26), disokong momentum jualan projek hartanahnya termasuk pembangunan kondominium mewah MAIA Mont’ Kiara.
RHB Research berkata, prospek jualan syarikat pemaju hartanah itu dijangka terus dipacu projek berkenaan yang kini mencatatkan tempahan melebihi 80%, dengan unit bersaiz besar menjadi pilihan paling laris.
Menurut firma penyelidikan itu, MAIA Mont’ Kiara bakal menjadi pemacu penting jualan UEM Sunrise bermula suku keempat 2026 (4QFY26) hingga separuh pertama 2027 (1HFY27).
“Sebahagian jualan akan diiktiraf pada 4QFY26, namun bahagian lebih besar dijangka menyumbang kepada jualan pada 1HFY27,” katanya.
Projek kondominium mewah pegangan bebas itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion, merangkumi 495 unit dengan keluasan binaan antara 1,485 kaki persegi hingga 2,982 kaki persegi.
Harga jualan purata selepas diskaun pula dianggarkan antara RM950 hingga RM1,000 sekaki persegi.
RHB Research berkata, terdapat sebilangan kecil pembeli yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh serta pembeli asing, manakala pembeli sedia ada kini dalam proses menandatangani perjanjian jual beli (SPA).
Sehingga separuh pertama 2026 (1HFY26), UEM Sunrise sudah merekodkan jualan RM1.47 bilion, sekali gus melepasi sasaran RM1.3 bilion bagi FY26.
Kerjasama dengan AME Elite Consortium Bhd pemacu pertumbuhan jangka panjang
Selain MAIA Mont’ Kiara, firma penyelidikan itu turut melihat kerjasama UEM Sunrise dengan AME Elite Consortium Bhd sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang menerusi pembangunan taman perindustrian pegangan bebas seluas 162.7 hektar di Gerbang Nusajaya.
Kedua-dua syarikat mempunyai usaha sama (JV) 50:50 untuk membangunkan tanah berkenaan sebagai hab perindustrian.
Menurut RHB Research, pembangunan taman perindustrian berskala besar itu dijangka menarik penyertaan syarikat multinasional berdasarkan rekod prestasi AME, sekali gus menyokong peningkatan nilai tanah.
Sokongan Khazanah Nasional Bhd sebagai pemegang saham utama UEM Sunrise turut meletakkan Gerbang Nusajaya pada kedudukan baik untuk merebut peluang permintaan pasaran serta menjana limpahan ekonomi positif jangka panjang.
UEM Sunrise masih mempunyai baki tanah seluas 141.6 hektar di Gerbang Nusajaya selepas pelaksanaan usaha sama dengan AME.
RHB Research tidak menolak kemungkinan pihak pengurusan menukar lebih banyak tanah kepada lot perindustrian berikutan permintaan kukuh, selain menyatakan minat terhadap lot kediaman dan komersial lain di bawah program monetisasi tanah syarikat kekal menggalakkan.
Potensi aset perindustrian
Dalam jangka panjang, UEM Sunrise juga berpotensi mengumpulkan portfolio aset perindustrian yang boleh dimonetisasi melalui pelupusan secara pukal atau penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT).
Bagi prestasi kewangan, RHB Research menjangkakan pendapatan UEM Sunrise pada separuh kedua 2026 (2HFY26) kekal kukuh, disokong transaksi tanah di Jalan Ampang, jualan MAIA Mont’ Kiara serta keuntungan pelupusan 10% pertama daripada usaha sama dengan AME.
Jualan belum dibilkan syarikat itu berjumlah RM2.94 bilion setakat Jun 2026. Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham UEM Sunrise dengan harga sasaran 77 sen. - DagangNews.com






