Kerajaan tidak akan ambil alih Datasonic Technologies - MKN

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 7:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan tidak akan ambil alih Datasonic Technologies - MKN
Kerajaan Madani berpendirian untuk tidak mengambil alih DTSB.

PUTRAJAYA - Kerajaan Madani tidak bercadang mengambil alih Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), syarikat yang menyediakan sistem identiti nasional serta membekalkan dokumen identiti dan dokumen keselamatan, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN dalam kenyataan pada Sabtu berkata, pendirian itu dibuat susulan laporan media mengenai kemungkinan pengambilalihan syarikat berkenaan.

"Berkaitan laporan media mengenai cadangan pengambilalihan Datasonic Technologies yang menyediakan perkhidmatan identiti rakyat, Kerajaan Madani berpendirian untuk tidak mengambil alih DTSB,” menurut kenyataan itu.

MKN menegaskan identiti rakyat merupakan antara aset strategik terpenting negara, justeru aspek keselamatan dan kedaulatannya sentiasa diberikan keutamaan tertinggi oleh kerajaan.

Menurut MKN, usaha mengawal selia perkara itu dilaksanakan menerusi rangka kerja yang merangkumi aspek perundangan, kewangan, tadbir urus dan keselamatan.

Pada masa sama, MKN memaklumkan kerajaan akan terus meneroka dan meneliti strategi proaktif serta berkesan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan identiti rakyat sentiasa terpelihara.

"Strategi-strategi tersebut juga mestilah memberi nilai terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan,” menurut kenyataan itu.

MKN berkata, kerajaan kekal komited memastikan semua pihak yang terlibat terus menambah baik perkhidmatan kepada rakyat supaya ia selamat dan boleh dipercayai.

Pada 20 Ogos lepas, NexG Bhd dilaporkan menilai anak syarikat milik penuhnya, DTSB, pada kira-kira RM7.5 bilion selepas menerima permintaan kerajaan untuk mengemukakan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan syarikat itu.

DTSB merupakan penyedia MyKad dan sejak 2012 menjadi vendor pasport Malaysia yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

DTSB kini turut memegang mandat bagi MyKad struktur baharu, MyTentera dan MyPOCA dengan komitmen bekalan untuk beberapa tahun. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved