
SEREMBAN: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan sistem nombor pendaftaran kenderaan ditempah khas (vanity plate) meskipun ia berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan membenarkan pemilik kenderaan memilih kombinasi huruf dan nombor mengikut kehendak sendiri seperti yang diamalkan di luar negara pernah dibincangkan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan sistem sedia ada yang menggunakan kombinasi huruf dan nombor seperti diamalkan sejak puluhan tahun lalu.
“Cadangan itu pernah dibincangkan namun kami tidak bercadang untuk mengeluarkan nombor pendaftaran kenderaan mengikut nama. Kami akan mengekalkan sistem sedia ada yang menggunakan kombinasi huruf dan nombor, seperti yang diamalkan sejak puluhan tahun lalu.
“Walaupun sistem itu berpotensi menjana hasil yang lebih tinggi, kami berpendapat sistem sedia ada perlu dikekalkan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, hari ini.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, kementerian akan meneruskan pengeluaran dua hingga tiga siri nombor pendaftaran khas setiap tahun bagi menjana pendapatan untuk membantu rakyat.
Katanya, siri nombor pendaftaran khas H yang dilancarkan pada September lalu berjaya menjana hasil sebanyak RM91.2 juta kepada kerajaan.
Beliau berkata, hasil itu antara lain digunakan untuk menyalurkan bantuan RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
“Itu sebabnya saya berbincang dengan Perdana Menteri dan beliau bersetuju supaya wang ini kita kembalikan, hasil ini kita kembalikan kepada pemandu.
“Jadi setiap tahun mungkin keadaannya berbeza. Kami juga melihat, walaupun ini bantuan secara sekali bayar tetapi sudah tentu pada masa hadapan kami akan cuba membantu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan berkenaan sudah disalurkan kepada penerima di Putrajaya dan Pulau Pinang manakala penerima lain dijangka menerimanya dalam tempoh dua minggu.
“Bagi fasa pertama, saya akan meneruskan penyerahan bantuan tunai kepada pemandu yang layak di beberapa zon yang akan diumumkan kelak.
“Penerima lain akan mendapat bantuan menerusi fasa seterusnya dengan wang disalurkan terus ke akaun bank masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke berkata, lebih 100 kenderaan sudah ditempah menerusi Program Reformasi Teksi Nasional Madani yang dilaksanakan dengan kerjasama Proton bagi membantu pemandu teksi menaik taraf kenderaan lama menerusi pemberian diskaun, pengecualian cukai dan kemudahan pembiayaan. – UTUSAN
The post Kerajaan tidak bercadang perkenal nombor plat ‘vanity’ appeared first on Utusan Malaysia.





