‘Kerana alam sekitar, aktivis kami pernah diancam’

LocalEnvironment
16 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kerana alam sekitar, aktivis kami pernah diancam’

PEMULIHARAAN serta pemantauan alam sekitar secara berterusan dan konsisten memerlukan mereka yang terlibat melakukannya benar-benar fokus dan ikhlas dalam perjuangan tersebut.

Ini kerana ia bukanlah satu tugas yang mudah dilakukan kerana banyak masa perlu dihabiskan untuk melakukan kerja-kerja sedemikian.

Bukan itu sahaja, ia juga adakala meletakkan diri seseorang aktivis alam sekitar dalam keadaan berbahaya apabila terpaksa berkonfrontasi dengan pihak tertentu.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menjadi antara pihak yang konsisten dalam perjuangannya sejak awal penubuhannya sekitar 2012.

Wartawan Kosmo! Ahad, Luqman Ridhwan Mohd. Nor menemu bual Presiden Kuasa, Hawa Wahid bagi mengulas cabaran dihadapi mereka dalam memperjuangkan kelestarian alam sekitar.

KOSMO! AHAD: Siapakah Kuasa yang selama ini menjadi antara NGO yang konsisten memperjuangkan kelestarian alam sekitar?
HAWA: Sebelum penubuhan Kuasa, ramai dalam kalangan aktivis alam sekitar berge­rak secara solo namun mempunyai misi dan visi sama. Bagi mengge­rakkan agenda melin­dungi alam sekitar secara lebih teratur dan formal, Kuasa ditubuhkan secara rasmi pada November 2012.

Kuasa bertapak di Manjung, Perak dengan pejabat kami terletak di Lumut. Manjung ketika itu sedang dalam fasa pemba­ngunan pesat, ada beberapa projek yang dilihat berpotensi memberi kesan kepada alam sekitar.

Antaranya projek pemba­ngunan selain ladang dan kilang di daerah ini. Pernah juga diuar-uarkan ketika itu Manjung bakal menjadi lokasi pembangunan tenaga nuklear. Itu antara yang kita pantau sepanjang ber­operasi.

Image from: ‘Kerana alam sekitar, aktivis kami pernah diancam’
AKTIVIS Kuasa ketika mengadakan kempen pemulihan hutan bakau Changkat Keruing, Manjung, Perak baru-baru ini.

Apa yang dilakukan Kuasa dalam memberi keseda­ran kepada orang awam me­ngenai alam sekitar?
Sebelum ini jika timbul perkara memerlukan perhatian awam, kita akan membuat petisyen kepada pihak berkaitan, selain menyertai pameran untuk memberi ke­sedaran mengenai isu-isu alam sekitar.

Disebabkan wujudnya persa­tuan ini, segala pergerakan bagi tujuan advokasi terhadap perlindu­ngan alam sekitar lebih berstruktur. Kita mengadakan pelbagai siri program pemba­ngunan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

Jika sebelum ini Kuasa le­bih memberi tumpuan kepada kempen kesedaran, program kita berkembang dan dipelbagaikan selari dengan hasrat kepimpinan NGO ini sekitar 2015 dan 2016.

Menggerakkan sebuah NGO memerlukan tenaga kerja. Berapa ramaikah ahli Kuasa?
Sehingga hari ini kami mempunyai sekitar 30 orang ahli, namun sukarelawan sudah melebihi 300 orang di seluruh negara. Kami beroperasi bukan hanya di Perak tetapi juga di Pulau Pinang, Pahang dan Johor.

Mereka yang banyak membantu menjalankan kerja-kerja seperti mengumpul maklumat di lapangan serta membantu melicinkan program Kuasa se­perti menjadi fasilitator.

Sukarelawan kami terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang pendidikan atau kerjaya. Tanggapan semua yang memperjuangkan alam sekitar mereka yang mempunyai pendidikan berkaitan sains tidak tepat ke­rana sesiapa sahaja boleh menyumbang mengikut kemahiran masing-masing.

Apakah antara harapan Kuasa apabila menjalankan program-program kesedaran mengenai alam sekitar?
Antara visi dan misi kami untuk memperbanyakkan aktivis baharu, selain memastikan orang awam lebih peka dengan kepen­tingan melindungi alam sekitar.

Kami menggunakan pelbagai pendekatan untuk memberi pendedahan mengenai isu alam sekitar. Disebabkan itu daripada beroperasi di Manjung sahaja, kami keluar ke kawasan lain se­perti Sungai Siput, sebelum ke negeri lain seperti Kelantan, Pulau Pinang dan Pahang.

Kami mahu aktivis ini lebih peka tentang bentuk pembangunan, contohnya di dalam hutan berdekatan tempat tinggal mereka yang berpotensi menjejaskan alam sekitar. Mereka harus tahu apa perlu dibuat sekiranya ada isu di kawasan masing-masing.

Tanpa pengetahuan mengenai isu-isu tersebut, bagaimana mereka mahu membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Aktivis-aktivis baharu ini akan melatih orang lain supaya cakna dengan isu semasa, seterusnya melahirkan generasi baharu pejuang alam sekitar.

Image from: ‘Kerana alam sekitar, aktivis kami pernah diancam’
HAWA (kanan) dan ahli-ahli Kuasa mengadakan perbincangan di ibu pejabat Kuasa di Lumut, Perak baru-baru ini.

Siapakah pihak yang akan dihubungi sekiranya terdapat isu alam sekitar?
Biasanya kami berhubung dengan komuniti setempat, sebagai contoh komuniti Orang Asli, nelayan atau penduduk di suatu kawasan memerlukan bantuan.

Antara bantuan yang mereka perlu adalah untuk membuat laporan tentang isu melibatkan alam sekitar. Program kami direka khusus untuk memberi ilmu kepada mereka mengenai kaedah berdepan isu tertentu.

Bagi melindungi satu tempat, komuniti di sana perlu diupayakan terlebih dulu. Menerusi pe­ngetahuan tentang alam sekitar, ia mampu dicapai.

Disebabkan kami mempunyai kekangan tenaga kerja, komuniti setempat boleh mengisi kelompongan itu, selain bantuan rakan NGO seperti Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan.

Apakah cabaran di­hadapi Kuasa dalam melakukan pemantauan alam sekitar?
Banyak cabaran dalam me­lakukan kerja-kerja pemantauan. Contohnya, jika mahu pantau suatu isu dalam kawasan hutan simpan kekal, sudah tentu tidak dapat dilakukan dengan mudah.

Nak masuk hutan simpan kekal memerlukan permit daripada Jabatan Perhutanan negeri.

Kita beroperasi berlandaskan undang-undang, jadi kami masih perlu memohon permit bagi tujuan itu. Kalau tak ada sebab sahih untuk masuk ke kawasan itu, permit tidak akan dikeluarkan.

Sekiranya tidak masuk ke kawasan berkenaan, komuniti Orang Asli yang dilatih dan tinggal di lokasi sasaran akan membantu menyalurkan maklumat seperti membekalkan gambar berkaitan. Antara isu di kawasan hutan biasanya melibatkan pembalakan atau pun kuari.

Bukan itu sahaja, Kuasa juga berdepan cabaran dari segi kos operasi kerana kita masih perlu membayar gaji mereka yang be­kerja di lapangan. Biarpun kami mendapat bantuan orang ramai seperti ketika awal penubuhan NGO ini ada dalam kalangan yang menyumbang kerusi atau meja untuk pejabat Kuasa, sesuatu perlu dilakukan agar Kuasa mempunyai sumber pendapatan.

Antara kita lakukan mengenakan sedikit bayaran kepada syarikat yang mahu melakukan program tanggungjawab sosial korporat dengan Kuasa. Ia digunakan untuk menjayakan operasi termasuk bayaran gaji.

Pernahkah ahli Kuasa berdepan situasi yang boleh mengancam keselamatan?
Ya, kita pernah berhadapan situasi sedemikian. Sebagai contoh pada 2023 aktivis kami bersama pihak berkuasa pernah dihalang sekumpulan individu didakwa wakil sebuah syarikat yang menjalankan kerja melombong pasir di Pantai Pasir Panjang di Segari, Manjung.

Kami dihalang meninggalkan pantai oleh pihak terbabit walaupun terdapat pihak polis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing bersama kami.

Berikutan isu dikepung, apabila aktivis Kuasa menjalankan pemantauan aktiviti pengorekan pasir di Sungai Puyu, Segari itu, kami berharap pemilik perniagaan dan kontraktor projek memastikan projek berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) selari dengan peruntukan undang-undang yang sedia
ada.

Apabila aktivis bertindak proaktif dalam membuat pemantauan bagi mengelakkan kemusnahan alam sekitar, kami mengharapkan kerjasama pelbagai pihak untuk memastikan aktivis kami tidak diancam.

Kita juga mempunyai risiko dikenakan tindakan undang-undang. Ada antara aktivis kami pernah dipanggil pihak berkuasa untuk memberi keterangan kerana mengeluarkan kenyataan berhubung suatu isu seperti di Pahang dan Johor.

Belajar daripada pengalaman itu, Kuasa mengambil berat sebarang kenyataan dikeluarkan dan akan memastikan suatu isu yang mahu diketengahkan sahih.

Apa yang boleh dilakukan oleh orang awam dalam menjalankan proses pemantauan?
Kita mahu orang awam tampil memperjuangkan isu alam sekitar di kawasan masing-masing menerusi peningkatan tahap kesedaran me­ngenainya.

Kita mahu mereka lebih peka dengan pembangunan sama ada ia memberi kesan terhadap kelestarian alam sekitar atau sebaliknya. Antara platform bagi orang awam menyuarakan pandangan dengan menyertai sesi pendengaran awam. Ia biasa dilakukan pihak berwajib sebelum melaksanakan pembangunan.

Sesi ini penting kerana ia ruang untuk orang ramai menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya terdapat perkara yang dirasakan mampu menjejaskan kualiti hidup mereka atau kawasan tempat tinggal masing-masing. KOSMO! ONLINE

The post ‘Kerana alam sekitar, aktivis kami pernah diancam’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved