
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada bukan Islam selepas penstrukturan semula 2018 perlu dihentikan kerana ia tidak benar dan hanya mengeksploitasi sentimen agama serta kaum.
Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berkata, fakta sebenar ialah aset berkenaan dipindahkan kepada Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. (UJSB), iaitu sebuah syarikat milik penuh kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan.
Menurutnya, UJSB bukan entiti milik mana-mana kaum, sebaliknya ditubuhkan bagi mengambil alih dan memulihkan aset-aset TH yang bermasalah.
“Saya rasa sudah tiba masanya kita meletakkan titik noktah kepada pembohongan ini.
“Jangan kita mengeksploitasi sentimen agama dan kaum semata-mata untuk mendapatkan keuntungan politik,” katanya di Dewan Rakyat.
Menurut Zaliha, rakyat tidak seharusnya diberikan gambaran seolah-olah aset umat Islam dirampas atau diserahkan kepada kaum lain.
Katanya, dalam proses penstrukturan itu, aset yang mempunyai nilai pasaran kira-kira RM9.7 bilion dipindahkan kepada UJSB pada nilai RM19.9 bilion dan sebagai balasan, TH menerima RM300 juta secara tunai dan sukuk berjumlah RM19.6 bilion.
“Apa maknanya? Ini bermakna nilai yang diterima oleh Tabung Haji adalah sekitar RM10 bilion lebih tinggi daripada nilai pasaran aset ketika dipindahkan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga perlu memahami sebab aset berkenaan dipindahkan, nilainya dan bentuk balasan yang diterima TH dalam proses pemulihan tersebut.
Zaliha turut memberi contoh tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli TH pada 2015 dengan harga RM188.5 juta sebelum dipindahkan kepada UJSB pada nilai RM400 juta dalam penstrukturan semula 2018.
“Apabila kedudukan TH kembali kukuh, tanah sama diperoleh semula pada harga pasaran semasa iaitu RM270 juta.
“Kalau aset ini kononnya sudah dijual dan digadaikan kepada orang lain, macam mana Tabung Haji boleh memperoleh semula aset tersebut?,” katanya.
Beliau berkata, perkara sama turut berlaku kepada UJ Estate yang dipindahkan pada nilai RM800 juta pada 2018 sebelum diperoleh semula TH pada 2024 dengan harga RM695 juta, iaitu RM105 juta lebih rendah daripada nilai ketika dipindahkan.
“Janganlah kita gambarkan kepada rakyat seolah-olah aset umat Islam ini dirampas atau diserahkan kepada kaum lain. Itu tidak betul sama sekali,” katanya.
Zaliha berkata, apabila berlaku salah urus, pihak bertanggungjawab perlu disiasat dan diambil tindakan, bukan menjadikan kaum lain sebagai kambing hitam.-UTUSAN
The post Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam perlu dihentikan appeared first on Utusan Malaysia.






