
MELAKA – Seorang pekerja penghantaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap teman wanitanya, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Jaafar, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas seorang wanita berusia 40 tahun kira-kira pukul 11 pagi di Jalan Pulau Gadong, Klebang Besar, di sini, pada 16 September lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Difahamkan tertuduh dan mangsa merupakan pasangan kekasih dan kejadian dipercayai berlaku berkaitan rasa cemburu.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S.Thiviya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan atas alasan tertuduh merupakan bapa tunggal yang perlu menyara dua orang anak dan hanya bekerja sebagai penghantar barang.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 28 Oktober ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE
The post Kerana cemburu, bapa tunggal didakwa pukul kekasih sampai parah appeared first on Kosmo Online.






