
RAUB – Dua lelaki warga Myanmar didakwa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang anggota polis berpangkat koperal dalam kejadian di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini 25 September lalu.
Bagaimanapun pertuduhan tidak dibacakan terhadap Ai Kyaw Lin Tun, 30, dan Ai Lin, 26 di hadapan Hakim Siti Hajar Mustaffa ekoran kedua-dua tertuduh tidak fasih berbahasa Melayu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Zhi Qian dan Hardave Singh Baldeb Singh manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret di sini, kedua-dua tertuduh turut berdepan pertuduhan berkaitan ketiadaan dokumen perjalanan serta memandu motosikal tanpa lesen yang sah.
Bagaimanapun pertuduhan tidak dapat dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad kerana kedua-dua tertuduh tidak fasih berbahasa Melayu.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula semua kes bagi membolehkan jurubahasa bahasa Myanmar dilantik, dan tiada tawaran jaminan diberikan kepada kedua-dua tertuduh. – KOSMO! ONLINE
The post Dua warga Myanmar didakwa pukul koperal polis appeared first on Kosmo Online.






