Dua warga Myanmar didakwa pukul polis

2 Oct 2026 • 3:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua warga Myanmar didakwa pukul polis

RAUB: Dua lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis berpangkat koperaldi Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, dekat sini pada 25 September lalu.

Bagaimanapun tiada pertuduhan dibacakan terhadap Ai Kyaw Lin Tun, 30, dan Ai Lin, 26 di hadapan Hakim Siti Hajar Mustaffa ekoran mereka tidak faham bahasa Melayu. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Zhi Qian dan Hardave Singh Baldeb Singh manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret di sini, kedua-dua warga Myanmar itu turut berdepan pertuduhan ketiadaan dokumen perjalanan yang sah serta memandu motosikal tanpa lesen.

Sebutan semua kes tersebut ditetapkan pada 14 Oktober ini bagi membolehkan jurubahasa bahasa Myanmar dilantik. Tiada tawaran jaminan diberikan kepada kedua-dua tertuduh kerana mereka mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal di negara ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Koperal Nik Mohd. Farid Nik Pa di tepi jalan Kampung Pamah Kulat pada pukul 2.45 pagi.

Kedua-dua tertuduh bekerja di sebuah kebun durian di Benta dan dipercayai dalam perjalanan pulang dari bandar Raub selepas membeli pembesar suara sebelum berhenti di hadapan sebuah rumah penduduk di Kampung Pamah Kulat.

Kejadian bermula apabila penduduk mengadu mengenai gangguan bunyi bising selepas mereka memasang pembesar suara dengan bunyi kuat di tepi jalan.

Nik Mohd. Farid yang bertugas ketika itu kemudian menegur mereka bagi menyelesaikan aduan berkenaan, namun tindakan itu dipercayai mencetuskan pergaduhan apabila kedua-dua lelaki terbabit tidak berpuas hati sebelum memukul mangsa secara bergilir-gilir.

Mangsa mengalami kecederaan termasuk patah hidung dan kecederaan pada rongga mata akibat kejadian tersebut. – UTUSAN

The post Dua warga Myanmar didakwa pukul polis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved