johardy12/08/2026 - 09:00 KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kerangka penyenaraian dwi bagi tawaran awam permulaan (IPO) antara Malaysia dan Hong Kong akan berkuat kuasa pada September 2026, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada syarikat Malaysia mengakses pasaran modal dan pelabur di Hong Kong.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerangka itu merupakan antara perkembangan terkini dalam hubungan ekonomi Malaysia-Hong Kong susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong pada 23 Julai lalu.
Menurutnya, MoU berkenaan memperluaskan pengiktirafan bersama dana termasuk dana dagangan bursa (ETF) dan amanah pelaburan hartanah (REIT), selain mewujudkan kerangka penyenaraian dwi IPO yang dipermudah.
“MoU itu meningkatkan lagi pengiktirafan bersama dana yang meliputi ETF dan REIT, selain mewujudkan kerangka penyenaraian dwi IPO yang dimudah cara dan berkuat kuasa pada bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan acara Think Business, Think Hong Kong 2026 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Loke berkata, Bursa Saham Hong Kong Ltd (HKEX) turut mengiktiraf Bursa Malaysia sebagai Bursa Saham Diiktiraf (RSE), sekali gus membolehkan syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia memohon penyenaraian kedua di Hong Kong.
Buka akses lebih luas kepada modal
Menurut beliau, perkembangan itu memberi peluang kepada syarikat Malaysia mendapatkan akses lebih luas kepada pasaran modal serta pelabur Hong Kong.
“Pihak pengawal selia boleh memeterai perjanjian dan kerajaan membuka pejabat, namun ini hanya akan bermakna apabila syarikat Malaysia mengemukakan permohonan bagi penyenaraian dwi berkenaan atau apabila pengurus dana Hong Kong dapat membawa satu produk kepada pelabur Malaysia,” katanya.
Loke berkata, kesalinghubungan antara Malaysia dan Hong Kong turut semakin berkembang dengan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Hong Kong mengambil masa kurang empat jam, selain kedua-duanya berada dalam zon waktu yang sama.
Cathay Pacific, katanya, menambah penerbangan keempat setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Hong Kong sejak Mac lalu, mencerminkan peningkatan permintaan komersial.
Pada masa sama, Malaysia Airlines menambah penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Shenzhen dan Changsha pada Julai, menjadikan rangkaian penerbangannya ke China meliputi sembilan destinasi.
Dari segi hubungan kargo, Loke berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong merupakan antara hab kargo tersibuk dunia, manakala Pelabuhan Klang terletak di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Perdagangan dan pelaburan berpotensi berkembang
Beliau berkata, kekuatan Hong Kong dalam bidang logistik, pembiayaan perdagangan, timbang tara dan perkhidmatan profesional boleh digabungkan dengan peningkatan eksport Malaysia dalam sektor elektronik, semikonduktor serta barangan bernilai tinggi lain bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan.
Loke turut menggesa wakil perniagaan yang menghadiri simposium itu supaya memanfaatkan peluang daripada hubungan pasaran modal yang semakin erat antara Malaysia dan Hong Kong.
Menurutnya, hubungan antara kedua-dua ekonomi sebenarnya lebih kukuh daripada persepsi umum, dengan Hong Kong menjadi antara pelabur penting di Malaysia sejak beberapa dekad lalu, manakala Malaysia merupakan antara rakan dagang utama Hong Kong dalam ASEAN.
Beliau optimis kerjasama lebih erat dalam pasaran modal, perdagangan dan pelaburan akan terus memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Hong Kong. - BERNAMA





