
SERI KEMBANGAN: Lebih empat juta orang dijangka berkunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2026) yang bakal berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, MAHA 2026 akan menggunakan tema ‘Penciptaan Nilai dan Keterjaminan Makanan’ selaras dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Beliau berkata, pihaknya mahu melihat bukan sahaja daripada segi menanam sahaja tetapi turut dalam rantaian pertanian dan perkara-perkara yang termasuk dalam teknologi di sektor berkenaan.
Katanya, MAHA 2026 bukan sahaja akan membawa inovasi daripada luar negara tetapi turut yang dihasilkan oleh petani, peladang, penternak dan nelayan tempatan.
“Saya harap mungkin tidak kurang lima juta lebih yang datang ke MAHA 2026, kita nak mengalakkan lebih ramai datang dari penganjuran sebelum ini.
“Kita akan menerima penglibatan lebih 2,000 pempamer dari dalam dan juga luar negara yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir dan membuat pameran sepanjang MAHA 10 hari nanti,” katanya semasa sidang media di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Isham berkata, MAHA 2026 turut menyasarkan RM58 juta hasil jualan langsung dan potensi pelaburan sebanyak RM8 bilion.
“Kita juga menyasarkan penglibatan sekitar 800,000 belia kerana kita mahu memastikan MAHA 2026 memberi impak bukan sahaja kepada industri hari ini tetapi untuk generasi pelapis pada masa hadapan.
“Insya-Allah dengan penyertaan belia ni akan memberi semangat baru dalam agenda keterjaminan makanan dan untuk kita meningkatkan lagi minat dalam bidang pertanian,” katanya.
Selain daripada antara pasar terapung yang dikekalkan, katanya, MAHA 2026 akan menampilkan persembahan cahaya laser dan dron serta bunga api semasa malam ambang Merdeka.
Tambahnya, MAHA 2026 bukan sahaja akan menampilkan pelbagai pameran tetapi turut memberi pengalaman kepada rakyat terutama yang berminat dengan bidang pertanian. –UTUSAN
The post Lebih 4 juta dijangka hadir MAHA 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






