Kerani kilang rugi lebih RM100,000 terpedaya tawaran kerja sambilan tidak wujud

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 9:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerani kilang rugi lebih RM100,000 terpedaya tawaran kerja sambilan tidak wujud
Mangsa terpedaya dengan tawaran itu sehingga membuat 14 transaksi bayaran. - Gambar hiasan

PEKAN - Seorang kerani kilang kerugian lebih RM101,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang dipercayai tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, wanita berusia 55 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali kira-kira jam 10 pagi, 15 Ogos lalu.

Menurutnya, suspek menawarkan pekerjaan secara dalam talian dengan menjanjikan bayaran serta komisen lumayan dan meminta mangsa menyertai kumpulan WhatsApp dan Telegram disediakan.

"Mangsa seterusnya diarahkan melakukan beberapa tugasan membuat ulasan dan menekan butang 'like' pada laman media sosial.

"Selepas bersetuju dengan tawaran itu, mangsa diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan mendapatkan komisen," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaidi berkata, mangsa terpedaya dengan tawaran itu sehingga membuat 14 transaksi bayaran dengan jumlah keseluruhan RM101,007 menggunakan wang simpanannya.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi diarahkan membuat pindahan wang dan diugut berdepan dikenakan penalti sekiranya gagal berbuat demikian.

"Mangsa mula curiga dan syak telah ditipu sebelum hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Susulan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, semakan awal boleh dibuat menerusi portal rasmi Semak Mule bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod berkaitan penipuan sebelum sebarang transaksi dilakukan.

"Orang ramai yang syak menjadi mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved