Selebriti wajar cari ‘backup plan’ untuk masa depan

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Selebriti wajar cari ‘backup plan’ untuk masa depan

CABARAN kelangsungan hidup dalam era ekonomi yang mencabar hari ini menuntut sesiapa sahaja termasuk golongan selebriti untuk lebih bijak mengurus masa depan dengan lebih baik.

Dalam industri hiburan yang tidak menjanjikan pendapatan tetap, kebergantungan kepada tawaran kerja semata-mata boleh memakan diri sekiranya tiada perancangan kewangan yang kukuh dibuat.

Sekiranya tiada panggilan penggambaran atau tawaran pentas, maka tiadalah sebarang aliran pendapatan untuk menyara kehidupan seharian mereka.

Menurut pelakon Shaheizy Sam, dia mengambil langkah proaktif dengan menjadikan kisah iktibar daripada legenda seni tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai cermin panduan.

“Artis atau pelakon kami ada ‘reference’ (rujukan). Salah seorangnya yang paling terkenal dan hebat ialah Allahyahrham Tan Sri P. Ramlee. Kadang-kadang bila kita dengar balik macam mana kehidupan dia, sebenarnya banyak bagi pengajaran kepada kita.

“Satu isu yang ada pada pelakon ini yang saya nampak termasuk diri sendiri, kita dapat bayaran yang tinggi dan tinggi jugalah duit kita akan keluar.

“Banyak masuk, banyaklah yang keluar sampai kita terlupa untuk buat simpanan kerana kita percaya masa depan ini akan ada lagi kerja untuk saya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sedar akan pasang surut kerjaya dalam dunia seni, keputusan untuk melabur dalam aset dan menceburi bidang perniagaan dilihat sebagai langkah bijak bagi menjamin kestabilan jangka panjang.

“Jadi, itulah pengajaran yang saya ambil dan saya menganggap kita punya kerjaya dalam bidang filem ini tidak akan sentiasa berada di tahap yang selesa.

“Kita akan sentiasa berada di atas atau di bawah bukan saja berlakon, apa-apa kerjaya sekali pun akan ada naik turun dalam kehidupan.

“Jadi, pengalaman yang P. Ramlee lalui ini saya ambil iktibar untuk saya kena sediakan lagi dan bersedia untuk masa-masa yang akan datang.

“Sebab itu saya mula berniaga, apabila mula berlakon saya simpan duit dan beli aset,” ujarnya.

Selain jaminan kewangan, pelakon filem Polis Evo itu memaklumkan, ia dapat memberi ruang untuk menikmati kualiti kehidupan bersama keluarga.

“Bila saya buat macam ini saya rasa hidup lebih tenang. Saya banyak masa bersama dengan keluarga berbanding ketika saya memang fokus asyik berlakon.

“Berlakon kalau kalian tahu, contohnya ‘call time’ pukul 7 pagi, kita akan habis 12 tengah malam. Kita sampai rumah dah 1 pagi, keluarga semua sudah tidur.

“Tetapi bila berniaga saya dapat rasa masa lapang di rumah dengan keluarga,” jelasnya.

Tidak hanya memfokuskan kepada golongan selebriti sahaja, Sam berharap setiap orang sentiasa beringat dan bersedia mendepani sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

“Bukan sahaja artis, siapa-siapa saja jangan terlalu selesa berada di mana kita ada sekarang.

“Pastikan kita fikir tentang kehidupan di masa akan datang,” tuturnya.

The post Selebriti wajar cari ‘backup plan’ untuk masa depan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved