Kerani maut motosikal terbabas

2 Apr 2026 • 8:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS berwarna biru disahkan maut di lokasi kemalangan pada Khamis.

KUALA LANGAT – Seorang kerani maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dalam kemalangan di Kilometer 6 Jalan Banting–Dengkil di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut sejurus insiden berlaku.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS berwarna biru sedang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Banting.

"Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum terjatuh di atas permukaan jalan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Banting,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta itu memiliki lesen memandu sah serta memakai topi keledar ketika kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Seorang saksi bebas yang melihat kejadian telah tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik daerah Kuala Langat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222,” katanya.