Malang Tak Berbau, Lelaki Parah Ditanduk Kerbau Meninggal Dunia

28 May 2026 • 8:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Malang Tak Berbau, Lelaki Parah Ditanduk Kerbau Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR - Malang sememangnya tidak berbau, dan itulah yang terjadi kepada seorang lelaki di Kampung Tenang, Ulu Tiram, Johor semalam. 

Selepas parah ditanduk kerbau ketika membantu ibadah korban, mangsa yang berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia lewat malam tadi. 

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata, insiden berkenaan berlaku sekitar 10 semalam dan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 11 malam ketika menerima rawatan.

“Berdasarkan bedah siasat, punca kematian berpunca daripada kecederaan saluran darah (vaskular) pada kaki kiri.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya sambil menasihati orang ramai yang membantu ibadah korban agar berhati-hati ketika mengendalikan semua haiwan berkenaan. 

Mohd Sohaimi memberitahu, insiden tersebut telah kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan.

“Orang ramai diharapkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian ini,” katanya. 

Video kejadian berkenaan yang dimuat naik The Malay Mail boleh disaksikan di pautan https://vt.tiktok.com/ZSxqTWkrj/. - Getaran, 28 Mei 2026