
CAPE TOWN – Sebuah kereta api barangan di Afrika Selatan berkemungkinan telah mencipta rekod dunia baharu selepas berjaya menarik sebanyak 696 gerabak, sekali gus mencatatkan panjang keseluruhan mencecah 7.5 kilometer, lapor saluran berita United Press International.
Syarikat kendalian kerajaan, Transnet Freight Rail (TFR) memaklumkan bahawa kereta api gergasi itu melengkapkan perjalanannya dari Saldanha ke Northern Cape menerusi Laluan Eksport Bijih Besi, Ahad lalu.
Projek berkenaan diadakan khusus bagi mengatasi Guinness World Record kereta api barangan terpanjang di dunia, yang sebelum ini dipegang oleh sebuah kereta api di Australia yang menarik 682 gerabak sepanjang 7.4 kilometer yang dilakukan pada tahun 2001.
Menurut TFR, selain memburu rekod, ujian tersebut turut bertujuan mempertingkatkan kepakaran teknikal dalam aspek reka bentuk, pengendalian serta prestasi operasi kereta api.
Ketua Pegawai Eksekutif TFR, Russell Baatjies berkata, kejayaan itu memberi nilai tambah yang amat besar kepada industri rel negara berkenaan.
“Pencapaian rekod dunia ini memang signifikan, namun nilai sebenarnya terletak pada pengetahuan teknikal dan maklumat operasi yang diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan.
Segala bukti perjalanan kereta api berkenaan kini telah dikemukakan kepada pihak Guinness World Record untuk penilaian dan pengesahan rasmi. – AGENSI
The post Kereta api tarik 696 gerabak cipta rekod dunia appeared first on Kosmo Online.




