MERSING - Dua lelaki ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dicekup sedang melakukan perbuatan maksiat dalam sebuah kereta di daerah ini.
Perbuatan pasangan songsang tersebut terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan pemeriksaan jam 6 petang, baru-baru ini.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut dijalankan empat penguat kuasanya ketika melakukan rondaan van untuk mencegah aktiviti maksiat di daerah ini.
"Penguat kuasa menaiki van menghampiri sebuah kereta yang sedang berhenti dari arah belakang. Cermin belakang kereta gelap dan tidak nampak orang di dalam.
"Bagaimanapun, penguat kuasa dapati kereta bergoyang dan berbuai. Enjin dan penghawa dingin kereta dalam keadaan hidup. Untuk keselamatan, penguat kuasa tidak turun dari van tetapi van menuju ke depan kereta.
"Cermin depan tidak gelap dan penguat kuasa boleh nampak stereng kereta tetapi tiada orang di bangku hadapan kiri dan kanan," menurut kenyataan itu.
Jelasnya, anggota penguat kuasa kemudian turun dari van dan pergi ke tingkap kereta di sebelah pemandu yang tidak gelap sepenuhnya tetapi tidak nampak ke dalam.
"Siasatan mendapati cermin tingkap belakang kiri dan kanan tidak berapa gelap dan boleh melihat perbuatan yang sedang dilakukan mereka dalam kereta tersebut.
"Penguat kuasa nampak dua lelaki 'buat sesuatu' dan penguat kuasa terus mengetuk pintu sambil menunjukkan kad kuasa. Pintu kereta dibuka seminit kemudian oleh salah seorang dari lelaki tersebut.
"Penguat kuasa arahkan dua lelaki berkenaan keluar tetapi mereka tidak terus keluar. Rupanya mereka berdua tidak memakai memakai seluar dan dua-dua memakai t-shirt sahaja," jelas JAINJ.
Tambah kenyataan itu, lelaki pertama berumur 30-an, merupakan warga tempatan, masih bujang, berasal dari negeri lain dan bekerja di daerah ini manakala, lelaki kedua berumur 20-an, seorang warganegara Pakistan beragama Islam, mempunyai pasport, masih bujang dan mengaku tidak bekerja.
"Pasangan itu berkenalan melalui sebuah aplikasi internet iaitu lelaki tempatan berkenaan yang menawarkan servis hangat kepada lelaki warga asing berkenaan.
"Dia tidak menipu identiti sebagai wanita tetapi berterus terang sebagai lelaki untuk dibelai oleh lelaki sejati," ujar JAINJ.
Difahamkan sasaran iklan di internet itu adalah kepada lelaki dengan keutamaan diberikan kepada lelaki sado sebelum 'pertemuan' diadakan dalam kereta.
"Mereka berkenalan dalam seminggu dan ini adalah pertemuan kali pertama mereka. Hari itu, selepas balik kerja, lelaki tempatan itu menaiki kereta miliknya dan mengambil lelaki Pakistan tersebut di satu lokasi.
"Sebelum ini mereka sudah bersembang berahi di alam maya, sekarang beraksi di gelanggang alam nyata pula.
"Apakah yang mereka buat di tempat duduk belakang kereta dan apakah yang penguat kuasa nampak? Itu semua akan dibacakan fakta kes di mahkamah nanti," jelas kenyataan tersebut lagi.
Tambah JAINJ, soal siasat seterusnya, mereka mengakui melakukan perbuatan itu suka sama suka tanpa bayaran.
Kedua-duanya ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

