
Kira-kira 2,300 pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan apabila mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik dalam Perarakan Merdeka @PUO 2026 dari Astaka, Padang Kampus A menuju ke Dewan Jubli Perak, politeknik berkenaan baru-baru ini.

Lebih menarik, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choi Tsy Jen, bersama Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh, turut menyertai perarakan dengan menaiki pacuan empat roda yang mengetuai konvoi di sekitar kawasan kampus sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Sebanyak sembilan kereta berhias bertemakan kemerdekaan, mewakili sembilan jabatan akademik PUO, turut menyertai konvoi tersebut, menampilkan kreativiti dan semangat kerja berpasukan pelajar dalam menzahirkan patriotisme serta kecintaan terhadap negara.
Program yang dilancarkan oleh Jenny itu diadakan sempena Peluncuran Bulan Kebangsaan @PUO 2026 itu berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian termasuk Bicara Merdeka, bacaan Ikrar Rukun Negara serta persembahan lagu-lagu patriotik.


Dalam ucapannya, beliau berkata, bahawa penganjuran program tersebut bukan sekadar sebuah perarakan atau pertandingan menghias kenderaan, sebaliknya menjadi platform penting untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan serta memperkukuh semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
“Program pada pagi ini bukan sahaja sebuah perarakan atau pertandingan menghias kenderaan, tetapi merupakan platform memperkukuh semangat patriotisme, nasionalisme dan kecintaan terhadap negara. Dengan penyertaan lebih 2,000 orang, ia melambangkan kekuatan kerjasama antara pelajar, staf dan masyarakat dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan hasil pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang perlu dihargai serta diteruskan oleh generasi muda melalui rasa tanggungjawab dan tindakan.

“Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini bukan datang dengan mudah, tetapi hasil pengorbanan dan perjuangan para tokoh terdahulu. Justeru, program seperti ini amat penting sebagai satu bentuk penghayatan sejarah, penghargaan terhadap jasa pejuang serta penyuburan semangat cinta akan tanah air.
“Marilah kita hayati erti kemerdekaan bukan sekadar dalam bentuk perayaan, tetapi melalui amal, tindakan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh, berkata sambutan Bulan Kebangsaan merupakan wadah penting dalam menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan mahasiswa.
“Melalui perarakan dan pertandingan kereta berhias, pelajar diberi ruang untuk menzahirkan kreativiti, membina semangat kerja berpasukan serta menghayati nilai kemerdekaan dan perpaduan. Penglibatan aktif mahasiswa dalam program sebegini turut membentuk jati diri dan rasa tanggungjawab mereka sebagai generasi pewaris negara,” katanya.
Program bertemakan Malaysia Madani Kesejahteraan Dinikmati itu dianjurkan bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) PUO, dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Perak, Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor, Pejabat ADUN Canning, Komuniti Madani Canning B serta JPKK PUO.

Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen PUO dalam melahirkan generasi TVET yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dan berdaya saing, malah memiliki jiwa merdeka, semangat patriotisme, nilai perpaduan serta rasa tanggungjawab terhadap negara.-UTUSAN
The post Kereta berhias semarak merdeka, 2,300 pelajar Politeknik Ungku Omar cetus jiwa patriotik appeared first on Utusan Malaysia.




