Kereta menanti atlet karate menang emas

11 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kereta menanti atlet karate menang emas

KUALA LUMPUR: Skuad karate negara bakal menerima ganjaran sebuah kereta Proton e.MAS sekiranya berjaya menyumbang pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya yang akan membuka tirainya bermula 19 September hingga 4 Oktober ini.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ganjaran tersebut merupakan satu bentuk penghargaan kepada atlet yang berjaya membantu kontinjen negara mencapai sasaran pingat emas di temasya sukan terbesar Asia itu.

Beliau berkata, pihaknya menyedari kepentingan karate dalam misi kontinjen negara dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya Aichi-Nagoya.

“Sebenarnya ganjaran ini adalah satu kelebihan untuk kontinjen karate sendiri dan saya percaya Sukan Asia ini adalah satu sukan yang terbesar buat skuad karate.

“Kita perlukan sekurang-kurangnya satu pingat emas untuk membantu kontinjen negara mengutip pungutan pingat.

“Walaupun sasaran kontinjen Malaysia begitu kecil tetapi sumbangan satu pingat adalah penting dan bagi karate, insya-Allah kita aka cuba yang terbaik” katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penghargaan dan Penyerahan Ganjaran kepada skuad karate negara di Institut Sukan Negara, semalam.

Skuad karate negara diwakili lima atlet yang akan bertanding bagi acara kumite iaitu Adeola Fay, Zakiah Adnan, C. Shahmalarani, Sureeya Shankar Hari Shankar dan K. Thevendran manakala kategori kata pula dibarisi oleh Muhammad Aiqal Asmadie serta Mukhriz Mazlan.

Dalam pada itu, Azmi berkata, ganjaran sama turut akan diberikan kepada barisan jurulatih sekiranya skuad karate berjaya mencapai lima pingat emas.

“Saya akan bagi semua. Saya nak pingat emas sahaja. Saya tidak kira kuantiti. Kalau dapat lima pingat emas, jurulatih-jurulatih pun saya bagi sebuah kereta,” katanya.

Sebagai rekod, pada Sukan Asia Hangzhou 2023 skuad karate negara membawa pulang satu emas menerusi Arif Afifuddin dalam acara kumite bawah 84 kilogram (kg). – UTUSAN

The post Kereta menanti atlet karate menang emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved