
SEUNIT pangsapuri serta insentif tunai menanti skuad bola keranjang sekiranya mampu menjelmakan kilauan pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, nilai ganjaran yang akan diterima membabitkan sebuah pangsapuri bernilai melebihi RM400,000 dan turut membawa pulang wang tunai RM50,000.
“Untuk ganjaran ini, kita bukan sahaja sediakan untuk atlet. Jurulatih juga akan menerima imbuhan, malahan kita gandakan. Kalau atlet dapat RM50,000, jurulatih akan dapat RM100,000, rumah juga jurulatih akan dapat.
“Insentif berkenaan sebagai pembakar semangat tambahan buat pemain dan tenaga kejurulatihan dalam usaha merealisasikan impian MABA untuk memburu pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya Jepun 2026.
“Untuk edisi kali ini, MABA sasarkan untuk meraih satu pingat gangsa menerusi kategori tiga lawan tiga lelaki. Untuk kategori wanita, saingan agak sengit. Namun, kita mahu mereka buatkan yang terbaik,” katanya.
Selain ganjaran pingat emas, MABA turut menyediakan insentif RM20,000 untuk pencapaian pingat perak dan RM10,000 (pingat gangsa).
Mengambil kira ganjaran yang agak lumayan, pemain negara dijangka akan lebih bersemangat bagi menghadirkan kejayaan buat Malaysia.
Dalam acara tiga lawan tiga lelaki, Malaysia akan diwakili oleh Lim Ting Xuan, Pan Zheng Hao, Te Yi Hang dan Chong Zhen Yang, manakala kategori wanita dianggotai, Erica Ng Mun Shuen, Tan Sammi, Elaine Chong Hui Lin dan Low Ler Yee.
Selain itu, skuad bola keranjang negara turut menghantar penyertaan dalam acara lima lawan lima wanita.
The post MABA tawar pangsapuri RM400,000 jika raih emas di Jepun appeared first on Kosmo Online.




