Kereta mewah terbakar langgar bateri tengah jalan

LocalCars
30 Dec 2024 • 6:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kereta mewah terbakar dalam kejadian di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Bayan Lepas pada Isnin.

image is not available
Kereta mewah hangus dijilat api.

BAYAN LEPAS - Sebuah kereta jenis Mercedes Benz C200 musnah selepas terbakar di Kilometer 18, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di sini pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan yang dijalankan mendapati, kejadian disyaki berpunca selepas kenderaan yang dipandu seorang lelaki itu melanggar bateri kenderaan yang berada di tengah jalan.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

"Kejadian berlaku pada jam 3.29 petang tadi di Jambatan Kedua Pulau Pinang. Kebakaran tersebut disyaki berpunca apabila kenderaan tersebut melanggar bateri kenderaan di tengah jalan.

"Kejadian berlaku ketika seorang lelaki memandu sendirian. Dia bagaimanapun selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Firdaus Mohd Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang.

Menurutnya, kejadian berlaku dari arah seberang menghala ke pulau.

"Anggaran peratusan kemusnahan adalah sebanyak 80 peratus dan kebakaran telah dapat dipadamkan.

"Kerja 'overhaul' selesai dan seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat kebakaran bomba (FIO) untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambah beliau, operasi pemadaman turut mendapat bantuan daripada BBP Batu Kawan.