Kereta tersadai lama di pusat servis, pengguna ada hak tuntut kerugian – Fuziah

LocalCars
7 Sep 2026 • 3:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kereta tersadai lama di pusat servis, pengguna ada hak tuntut kerugian – Fuziah

PETALING JAYA – Pengguna yang terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan semula kenderaan yang dihantar bagi pembaikan di bawah waranti berhak menuntut kerugian sekiranya kelewatan itu berpunca daripada pihak pembekal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, perkara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 41 Akta Perlindungan Pengguna 1999 sekiranya pembekal gagal memenuhi tanggungjawab dalam tempoh munasabah.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata, isu berkenaan boleh membebankan pengguna apabila ansuran bulanan kenderaan masih perlu dibayar meskipun kereta berada di pusat servis selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Dalam tempoh tersebut, katanya, pengguna mungkin terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk menyewa kenderaan atau menggunakan perkhidmatan e-panggilan bagi meneruskan urusan harian.

“Pengguna tidak sepatutnya dibiarkan menunggu tanpa kepastian sedangkan kelewatan pembaikan itu bukan berpunca daripada mereka.

“Di bawah Seksyen 41 Akta Perlindungan Pengguna 1999, pengguna boleh menuntut kerugian daripada pembekal sekiranya gagal memenuhi dalam tempoh yang munasabah,” katanya.

Menurut Fuziah, pengguna yang berdepan situasi tersebut perlu menyimpan semua dokumen berkaitan bagi menyokong tuntutan mereka.

Antaranya termasuk laporan kerosakan, rekod komunikasi dengan pusat servis serta resit sewaan kenderaan atau perkhidmatan e-panggilan sepanjang tempoh kenderaan dibaiki.

Katanya, dokumen berkenaan boleh digunakan sebagai bukti terhadap kerugian yang ditanggung akibat kelewatan pembaikan.

“Sekiranya masalah masih gagal diselesaikan, pengguna boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Sebagai pengguna, kita bukan sahaja perlu mengetahui hak kita, tetapi juga berani menggunakannya. Manfaatkan saluran yang ada supaya hak kita dibela,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Kereta tersadai lama di pusat servis, pengguna ada hak tuntut kerugian – Fuziah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved