
KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun ke-10 program Keretaapi Sarong yang diraikan bersempena Hari Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 25,000 peserta di 12 stesen rel utama.
Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman berkata, pencapaian luar biasa itu adalah manifestasi sokongan berterusan masyarakat pelbagai kaum yang konsisten menyemarakkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air sejak sedekad lalu.
Katanya, pelbagai pembaharuan dan tarikan istimewa diperkenalkan pada edisi kali ini sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat yang konsisten menyemarakkan semangat perpaduan selama satu dekad.
“Selepas 10 tahun, kita ada banyak aktiviti yang dibina bersama komuniti. Tahun ini, kita hadirkan Joget Sarong dan Stesen Wanita bagi meraikan golongan wanita yang sedikit introvert tetapi mahu bergembira dalam semangat perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar Keretaapi Sarong 2026 di sini hari ini.
Menurut beliau, impak gerakan Keretaapi Sarong kini semakin meluas apabila ia dianjurkan di tiga lokasi baharu iaitu Padang Besar, Perlis; Langkawi, Kedah serta di Kuching, Sarawak, yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember depan di bawah jenama Perahu Sarong.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan konsep di Sarawak, beliau berkata, pihaknya memilih untuk mengangkat nostalgia pengangkutan air tempatan dengan bekerjasama bersama kira-kira 25 pengusaha perahu tambang di Kuching.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran acara berskala besar yang digerakkan lebih awal sejak enam bulan lalu bukan sekadar oleh barisan jawatankuasa LOCCO, sebaliknya digerakkan secara kolektif oleh beratus-ratus komuniti akar umbi di seluruh negara.
Jelasnya, beliau turut meluahkan rasa syukur apabila kebimbangan berhubung isu jerebu dapat diatasi dan program dapat berjalan lancar tanpa sebarang insiden darurat.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penyokong, di samping melahirkan harapan besar agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memberikan kebenaran serta sokongan penuh untuk membawa perhimpunan mega Keretaapi Sarong ke Dataran Merdeka pada tahun hadapan.
“Tahun depan kita dah rancang untuk tahun depan Insya-Allah di Dataran Merdeka. Insya-Allah jaya, cuma memerlukan sokongan daripada DBKL,” katanya. – UTUSAN
The post Keretaapi Sarong 2026 catat penyertaan 25,000 orang appeared first on Utusan Malaysia.

