‘Keretapi Sarong’ dipeluas ke 10 bandar sempena Hari Malaysia

10 Sep 2026 • 1:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Keretapi Sarong’ dipeluas ke 10 bandar sempena Hari Malaysia

PETALING JAYA: Sebanyak 10 bandar di seluruh negara dengan tiga lokasi baharu iaitu  Padang Besar, Langkawi dan Kuching akan terlibat dalam Penganjuran Keretapi Sarong 2026 (KS26) edisi ke-10 pada 16 September ini.

Pengasas Bersama LOCCO Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, program tahunan bersempena dengan Hari Malaysia itu juga akan berlangsung serentak di bandar-bandar terpilih termasuk Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan.

“Penambahan lokasi bukan sekadar untuk menarik lebih ramai peserta, tetapi turut menjadi usaha membawa mesej perpaduan dan kecintaan terhadap Malaysia kepada lebih ramai komuniti.

“Perkembangan ini membuktikan Keretapi Sarong bukan lagi sekadar acara yang tertumpu di ibu negara, tetapi semakin menjadi gerakan kebudayaan digerakkan bersama komuniti di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi peserta di Lembah Klang, mereka akan berkumpul di 12 stesen permulaan terpilih sebelum bergerak bersama-sama menuju “destinasi rahsia” yang merupakan identiti serta elemen kejutan acara tersebut.

Shamsul Bahrin berkata, Sarawak turut melakar sejarah sebagai lokasi pertama di luar Semenanjung yang menyertai Keretapi Sarong.

Bagaimanapun katanya, penganjuran di Kuching terpaksa ditangguhkan ke Disember depan susulan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.

“Edisi tahun ini juga memperkenalkan ‘Stesen Wanita’ di MRT Titiwangsa sebagai pengisian khas yang memberi tumpuan kepada kreativiti serta sumbangan wanita dalam membentuk keluarga, komuniti dan negara.

“Stesen khas wanita diperkenalkan susulan permintaan komuniti wanita yang mahu menikmati pengalaman Keretapi Sarong dalam suasana lebih selesa dengan peserta wanita lain, khususnya ketika keadaan sesak.

“Kita mengambil keputusan untuk buat satu stesen khusus buat wanita sahaja dan kita sangat teruja dengan pengaktifan stesen ini kerana memberikan warna baharu kepada Keretapi Sarong,” katanya.

Beliau menambah, penganjuran tahun ini turut memperkenalkan lagu “Joget Sarong” sebagai lagu tema, selain mengangkat “Sayang Malaysia” sebagai tema KS26 yang mencerminkan semangat cinta dan kebanggaan terhadap negara.

“Tema ini pernah digunakan pada 2017 dan kami guna semula tahun ini kerana  selari dengan matlamat Keretapi Sarong untuk menerapkan rasa cinta terhadap negara, selain mengingatkan rakyat akan kepentingan perpaduan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.

“Saya rasa ‘Sayang Malaysia’ merupakan satu perkataan atau makna yang sangat besar bukan sahaja buat orang Malaysia tetapi juga buat kami di Keretapi Sarong. Kita nak terapkan rasa cinta dan sayang kepada negara,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Keretapi Sarong’ dipeluas ke 10 bandar sempena Hari Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved