Kerian Industrial City bernilai RM700 juta dijangka wujudkan hampir 12,000 pekerjaan

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerian Industrial City bernilai RM700 juta dijangka wujudkan hampir 12,000 pekerjaan Image from: Kerian Industrial City bernilai RM700 juta dijangka wujudkan hampir 12,000 pekerjaan johardy22/10/2026 - 15:30 Datuk Seri Saarani Mohamad (empat dari kiri) melihat pelan pembangunan pada Majlis Pecah Tanah Kerian Industrial City (KIC) di Parit Buntar pada 22 Oktober 2026. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee (enam dari kiri); Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak (lima dari kiri); dan Pengarah Urusan Asiabina Group, Datuk Yong Chai Seng (dua dari kiri). – Foto Stratcomm Perak

PARIT BUNTAR 22 Okt - Pembangunan Bandar Perindustrian Kerian atau Kerian Industrial City (KIC) seluas kira-kira 116 hektar dengan nilai pembangunan sekitar RM700 juta dijangka mewujudkan hampir 12,000 peluang pekerjaan sekali gus memperkukuh kedudukan Kerian sebagai hab industri baharu di Perak.

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan itu turut membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), vendor serta industri sokongan menerusi pertumbuhan aktiviti perindustrian di daerah berkenaan.

 

Menurutnya, kedudukan Kerian berhampiran pusat perindustrian Batu Kawan di Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park di Kedah memberi kelebihan kepada KIC untuk memanfaatkan perkembangan rantaian bekalan serta aktiviti pembuatan di utara Semenanjung.

 

“Pada masa yang sama, pembangunan KIC bersama dengan KIGIP (Kerian Integrated Green Industrial Park), akan saling melengkapi dalam membentuk ekosistem perindustrian yang lebih kukuh serta meningkatkan daya tarikan Kerian kepada pelabur,” katanya, lapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pecah Tanah KIC di Wilayah Dennistown, Mukim Parit Buntar di sini hari ini.

 

Saarani berkata, Perak perlu melihat Pulau Pinang dan Kedah sebagai rakan strategik bagi mengelakkan persaingan tidak sihat serta membolehkan ketiga-tiga negeri saling melengkapi melalui perkongsian pengalaman dan pengetahuan.


 

perak

 

perak

 


Bekalan elektrik perlu menyokong pertumbuhan industri

Beliau berkata, pembangunan KIC dan KIGIP perlu disokong infrastruktur serta utiliti mencukupi, khususnya bekalan elektrik yang stabil, termasuk pembangunan Pencawang Masuk Utama (PMU) baharu.

 

“Saya sangat menyambut baik perbincangan yang telah diadakan antara SD Guthrie, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan InvestPerak berhubung cadangan pembangunan PMU tersebut, termasuk penyelarasan laluan rentis yang melibatkan kawasan KIGIP,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KIGIP mampu ubah Kerian menjadi pusat industri bernilai tinggi

 

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, KIC akan dibangunkan dalam empat fasa dengan tempoh pelaksanaan selama 10 tahun.

 

Menurutnya, projek itu menyasarkan sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), selain menyediakan ruang kepada industri sokongan seperti perkhidmatan pengujian, penentukuran dan kejuruteraan bagi memenuhi keperluan pengilang berteknologi tinggi.

 

“Pembangunan itu bukan sahaja menarik pelaburan, tetapi turut menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada anak tempatan, meningkatkan pendapatan dan merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

 

Redza Rafiq berkata, kerjasama antara pemain industri dengan institusi pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga diperlukan bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang memenuhi keperluan industri. - Bernama

 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved