
JABATAN Air berharap dapat menyiapkan kerja-kerja membaiki paip air mentah antara muka suaknya di Madziang dan Loji Rawatan Moyog hari ini, dua hari lebih awal daripada jadual asal.
Paip air sepanjang 70 meter paip di kawasan Kg Sogumau itu rosak akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh cuaca buruk yang melanda negeri ini pertengahan bulan ini.
Agensi itu pada mulanya menjangka kerja pembaikan selesai menjelang Jumaat.
Jurucakap Jabatan berkenaan berkata pengeluaran di Loji Moyog menurun kira-kira 16 peratus sejak syarikat konsesinya mula menangani kerosakan paip utama berkenaan pada 19 September.
Dalam keadaan biasa, sebanyak 185 juta liter dihasilkan setiap hari di Moyog, katanya.
“Sekitar 60 hingga 65 peratus daripada kerja-kerja kecemasan berjaya disiapkan setakat ini,” katanya pada Selasa.
Selain membaiki saluran paip utama berlapis keluli berdiameter 700 milimeter itu, katanya lagi, kerja terbabit turut melibatkan pembinaan paip lencongan sepanjang 240 meter.
“Kakitangan Jabatan Kerja Raya pada awalnya membersihkan sisa-sisa daripada runtuhan tanah.
“Sebuah pasukan terdiri daripada 13 hingga 18 kakitangan syarikat konsesi kemudiannya memasang paip baharu, mengimpal sambungan dan membina lintasan jalan,” katanya.
Dia berkata usaha mereka beberapa kali tertangguh disebabkan hujan lebat serta aliran trafik di lokasi terbabit.
Jabatan itu mengeluarkan notis pada 18 September sekitar jam 11 pagi yang diedarkan melalui media sosial bagi memaklumkan orang awam dari Lok Kawi hingga ke Inanam supaya bersedia menghadapi gangguan bekalan akibat kerja pembaikan itu.
Antara pengguna terjejas oleh pengurangan hasil air itu termasuk mereka yang tinggal di Inanam, Kolombong, Tanjung Lipat, Likas, Pusat Bandar KK, Bukit Bendera, Karamunsing, Luyang, Bukit Padang, Kepayan, Penampang, Kobusak, Sembulan, Tanjung Aru, Petagas, Putatan dan Lok Kawi.
Kakitangan pejabat dan pemilik rumah di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, bangunan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, Kawasan Perindustrian Ringan Lok Kawi, Taman Tanaki, Taman Ketiau, Pangsapuri Country Heights dan Pangsapuri Beverly Hills juga terkesan.
Selain itu, kawasan kediaman dan komersial di sepanjang Jalan Penampang Baru, Jalan Penampang-Papar Lama, Jalan Papar Baru, Jalan Ramayah-Terawi, Jalan Pintas Donggongon, Jalan Datuk Panglima Banting dan Jalan Bundusan tidak terkecuali daripada masalah bekalan.
Komuniti luar bandar yang terjejas termasuk Kg Ketiau, Kg Baru Putatan, Kg Limbanak, Kg Maang, Kg Langkuas, Kg Sugud, Kg Bunduon, Kg Babah, Kg Putaton, Kg Mahandoi, Kg Potuki, Kg Lok Kawi Baru, Kg Tombovo, Kg Duvanson, Kg Dabak dan Kg Buit Hill.
Setelah kerja pembaikan siap, pengguna-pengguna ini akan menerima semula bekalan air secara berperingkat, kata jurucakap itu.
“Ia akan berlaku selepas tekanan mencukupi terkumpul dalam paip agihan yang menyalurkan bekalan ke kawasan masing-masing.
“Kebiasaannya mengambil masa antara dua hingga tiga hari untuk air paip stabil dalam sesetengah kes.
“Pengguna yang tinggal dan bekerja lebih dekat dengan paip mungkin tidak perlu menunggu lama.
“Namun, mereka yang rumah dan kedai mereka terletak di kawasan lebih tinggi atau di hujung saluran bekalan mungkin hanya mendapat semula bekalan selepas hari ketiga.”Mengenai aduan masalah bekalan air di Putatan Platinum dan Taman Likas Jaya, katanya, Jabatan akan menghantar lori tangki ke Putatan Platinum bagi membantu lebih 600 penghuni apartmen di sana mendapatkan bekalan sementara.
Katanya, juruteknik jabatan memeriksa keadaan di kawasan perumahan di Likas Jaya dan mendapati tekanan air yang sampai ke rumah-rumah tertentu adalah lemah.
“Kami akan memantau situasi di kedua-dua lokasi ini untuk memastikan pengguna terjejas tetap menerima bekalan air paip.”




