Kerjasama BN dengan parti lain diputuskan Jumaat ini – Akmal Saleh

LocalPolitics
25 Aug 2026 • 12:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerjasama BN dengan parti lain diputuskan Jumaat ini – Akmal Saleh

MELAKA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan mana-mana parti sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan ditentukan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Jumaat ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara berkenaan antara agenda utama yang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk membabitkan hala tuju kerjasama politik di Melaka.

Menurutnya, Pemuda UMNO turut akan terlibat dalam perbincangan itu memandangkan pergerakan berkenaan merupakan sebahagian daripada Biro Politik UMNO.

“Kita tunggulah 28 haribulan nanti di MKT (Majlis Kerja Tertinggi). Insya-Allah akan ada keputusan yang baik untuk semua orang di Melaka nanti. Antara agendanya akan dibincangkan di situ,” katanya ketika ditemui sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Mengulas mengenai penglibatan Pemuda dalam rundingan kerjasama politik, Muhamad Akmal berkata, perkara itu sememangnya akan membabitkan pergerakan berkenaan.

“Pemuda ini adalah sebahagian daripada Biro Politik UMNO. Jadi sudah semestinya ia akan melibatkan pergerakan Pemuda sekali,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Akmal berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadual berlangsung selama empat hari mulai 9 hingga 12 September ini turut akan memberi tumpuan kepada persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, antara perkara yang akan dibincangkan ialah cadangan manifesto yang akan dibawa UMNO bagi menghadapi PRU akan datang, termasuk mendapatkan pandangan perwakilan Pemuda dari seluruh negara.

“Kita akan dengar daripada perwakilan apakah hasrat Pemuda seluruh negara untuk kita bawa dan jadikan sebahagian daripada manifesto kita nanti,” katanya. – UTUSAN

The post Kerjasama BN dengan parti lain diputuskan Jumaat ini – Akmal Saleh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved