
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu akur dengan status quo 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki Barisan Nasional (BN), jika mahu bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ini termasuklah kerusi Rembia yang mana penyandangnya, Datuk Muhamad Jailani Khamis ‘melompat’ daripada UMNO menyertai Pas pada 10 Jun 2023.
Jika formula itu dipersetujui, ia bermakna hanya tujuh kerusi sahaja yang terbuka untuk rundingan.
Daripada tujuh kerusi berkenaan, lima DUN disandang PH iaitu Bukit Katil, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Dua kerusi yang dimenangi PN melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN 2021 adalah Bemban dan Sungai Udang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, segala urusan berkaitan kerjasama akan diserahkan kepada Jawatankuasa (JK) Perundingan, termasuk pembahagian kerusi, calon yang akan bertanding, program serta manifesto.
“Semua urusan kerjasama diserahkan kepada JK Perundingan, sama ada berkaitan bilangan kerusi yang akan ditandingi, calon, program, manifesto dan sebagainya.
“Perkara ini akan diserahkan kepada JK Perundingan. Kita yakin semua masalah boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bersedia untuk bertolak ansur.
“PN juga masih belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi atau kerusi yang akan diletakkan calon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Bakri Jamaluddin, kedua-dua parti itu tidak mempunyai masalah di peringkat negeri, malah pernah bekerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) di negeri Melaka.
“Melihat kepada keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, memang tidak dapat dinafikan penyatuan ummah ini semakin diterima masyarakat dan begitu juga rakyat di negeri Melaka. Masing-masing mengharapkan penyatuan Melayu ini diteruskan.
“Kita sendiri di Melaka tidak pernah menyerang BN, BN juga tidak pernah menyerang kita. Di peringkat akar umbi, kita aman-aman sahaja.
“Namun kita faham apa pun keputusan ia terserah kepada Pas pusat kerana setiap parti mempunyai strategi yang berbeza-beza. Kami di peringkat negeri akan akur apa sahaja keputusan yang dibuat oleh parti,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, BN negeri akan mempertahankan 21 daripada 28 kerusi dimenangi pada PRN lalu sebagai asas dalam sebarang rundingan kerjasama politik.
Katanya, pendirian itu akan terus dipertahankan walaupun terdapat kemungkinan berlaku pertukaran beberapa kerusi dalam proses rundingan.
Bagi Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli pula, perbincangan antara PH dan BN masih bersifat terbuka, malah tidak terikat dengan mana-mana ketetapan sebelah pihak.
Bagaimanapun jelasnya, ianya bergantung kepada perbincangan lanjut kelak.
“Seperti yang dinyatakan, kerjasama PH-BN adalah bagi tujuan meluruskan kembali hubungan antara Persekutuan dan Negeri, memandangkan aturan yang sama telah wujud di Putrajaya. Ia tidak bersifat matlamat politik semata-mata. PH malah tidak pun kaut laba politik yang lebih besar dari kerjasama tersebut,” katanya. – UTUSAN
The post Hanya tujuh kerusi DUN boleh runding appeared first on Utusan Malaysia.






