Kerjasama BN dengan PN akan diumumkan esok - Ahmad Zahid

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerjasama BN dengan PN akan diumumkan esok - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid (empat dari kiri) mengangkat tangan bersama sebahagian calon pada majlis pengumunan Calon BN PRN Negeri Sembilan di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Rabu. Foto Bernama

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini secara rasminya dijangka diumumkan pada Khamis.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, baki 11 kerusi daripada 36 DUN yang belum diumumkan oleh parti itu akan ditentukan oleh pihak terbabit.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas rakan kerjasama berkenaan.

"Kita ada perbincangan dengan pihak lain. Esok akan ditentukan dan diumumkan malam esok," katanya ringkas selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.

Dalam pada itu, berkenaan dengan calon 'poster boy' pula, beliau memaklumkan ia akan diumumkan kemudian.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN hanya mengumumkan 25 calon kerana masih menunggu keputusan rundingan dengan 'rakan'.

"Seperti disebut oleh Presiden BN tadi bahawa akan ada pengumuman lain kerana kita memasuki PRN ini dengan buat persefahaman dengan kawan.

"Tapi jangan risau kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai," katanya selepas selesai mengumumkan seramai 25 calon BN di lokasi yang sama.

PN dijadual mengumumkan calon mereka di Kompleks Pas Seremban pada malam Khamis.

Pengumuman tersebut dijangka akan dibuat oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebelum ini media melaporkan, Pas mengakui sedang mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan yang positif.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved