Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan secara rasmi bentuk kerjasama dengan rakan politiknya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, lapor Sinar Harian.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, baki 11 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum diumumkan akan diputuskan bersama pihak yang sedang dirundingkan.
“Kita ada perbincangan dengan pihak lain. Esok (hari ini) akan ditentukan dan diumumkan malam esok (ini) ,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Foto: Bernama
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan identiti rakan kerjasama berkenaan.
Mengulas mengenai calon yang bakal dijadikan ‘poster boy’ BN bagi PRN kali ini, Ahmad Zahid berkata pengumuman mengenainya akan dibuat pada satu tarikh lain.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan hanya 25 calon diumumkan setakat ini kerana parti itu masih menunggu keputusan muktamad rundingan bersama rakan kerjasama.
“Seperti disebut oleh Presiden BN bahawa akan ada pengumuman lain kerana kita memasuki PRN ini dengan buat persefahaman dengan kawan.
“Tapi jangan risau kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai,” ujarnya.

Foto: FB Zahid Hamidi
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) dijadual mengumumkan senarai calonnya di Kompleks PAS Seremban pada malam Khamis dengan pengumuman dijangka dibuat oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum ini, media melaporkan PAS mengesahkan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos sedang berlangsung.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak berjalan dengan baik dan menunjukkan perkembangan yang positif.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)






