
IPOH: Spekulasi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memerlukan satu tindakan secara kolektif.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan tersebut sebaiknya bergantung kepada kepemimpinan negeri dan pucuk tertinggi BN.
“Saya tidak dipengaruhi oleh siapa yang minta kita kerjasama dan sebagainya. Tetapi ini bergantung pada kepemimpinan negeri dan berbincang.
“Kemudian pucuk pimpinan Barisan Nasional di peringkat tertinggi untuk memperihalkan secara terperinci apa yang perlu kita lakukan dan itu selalunya satu tindakan secara kolektif,” katanya di Hotel MH di sini hari ini sempena Bengkel Latihan Pilihan Raya Negeri Perak.
Jelasnya, MCA berpendirian, asas utama ialah memperkuatkan parti tersebut dan BN yang secara strategi memberi manfaat kepada gabungan tersebut.
“Dalam soal kita hendak memperkukuhkan kedudukan dominan dalam sebuah kerajaan negeri, saya rasa kena bermula dan melihat kekuatan kita dapat kerusi yang banyak.
“Kalau kita tiada kekuatan bermaksud kita punya tawar menawar tidak ada. Itu saya rasa satu realiti politik yang kita tidak dapat nafikan,” katanya.
Berhubung peningkatan sokongan terhadap MCA dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan lalu, Ka Siong berkata, banyak ruang yang perlu diperbaiki kerana setiap negeri mempunyai senario yang berbeza-beza.
“Tetapi untuk dua negeri ini, kita mendapat satu sokongan daripada pengundi. Tetapi ianya masih lagi banyak ruang yang boleh kita perbaiki.
“Kita tidak terlalu ghairah dengan kemenangan, tetapi itu sebagai bermulanya tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN
The post Kerjasama BN-PH dalam PRN Melaka perlu tindakan secara kolektif appeared first on Utusan Malaysia.






