
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) mendakwa mereka semakin hampir mencapai kesepakatan pembahagian kerusi dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak itu sudah pun mencapai 95 peratus namun masih menunggu keputusan mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu ini.
“Pada skala satu hingga 10, saya rasa 9.5. (Namun) Kami akan menunggu keputusan pengumuman mesyuarat SPR pada 7 Oktober nanti.
“Kemudian kita akan memuktamadkan dengan gabungan mana yang harus kita bekerjasama untuk mengadakan jalinan kesefahaman untuk kita bergerak dalam PRN Melaka,” katanya ketika ditemui pada Seminar Ilmuwan Islam Malaysia anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun pihaknya masih terbuka untuk menerima kerjasama daripada Pakatan Harapan (PH).
“Ya, kami sangat terbuka,” ujarnya.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan kerjasama BN dan Pas bagi menghadapi PRN Melaka semakin positif apabila parti itu dikatakan bakal diberi laluan untuk bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sumber berkata, keputusan awal itu dicapai dalam perbincangan melibatkan dua pemimpin kanan Pas iaitu Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata 10 peratus masih boleh mencetuskan pelbagai kemungkinan apabila Pas mendakwa sudah mencapai 90 peratus persetujuan dalam rundingan dengan BN, kelmarin.
Mengulas tentang penggunaan logo, Ahmad Zahid menjelaskan keputusan penggunaan logo BN oleh Pas bergantung kepada keselesaan parti itu seperti mana dilakukan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Kami tidak ada masalah kalau mereka mahu menggunakan logo yang mereka akan kemukakan. Itu adalah soal parti mereka, tetapi tentunya BN dan rakan-rakan dalam gabungan parti BN akan tetap menggunakan logo kami.
“Berkenaan jentera pula, di peringkat akar umbi, jentera khususnya di pusat daerah mengundi, kita akan bergerak bersama-sama walaupun kita belum putuskan dengan partner mana yang kita mahu bergerak,” jelasnya.
Katanya lagi, bagaimanapun, gerakan jentera adalah untuk memastikan ‘gelombang biru’ di Melaka benar-benar dapat diterjemahkan dan akan merebak ke seluruh negara. – UTUSAN
The post Kerjasama BN PRN Melaka: ‘Pada skala satu hingga 10, saya rasa 9.5’ appeared first on Utusan Malaysia.






