
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan bentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan dengan parti-parti politik kini berada pada tahap hampir dimuktamadkan.
“Kami telah mengadakan perbincangan dengan skalanya 9.5 daripada 1 hingga 10. Kami akan menunggu keputusan pengumuman mesyuarat SPR pada 7 Oktober nanti.
“Selepas itu akan ada pengumuman untuk memuktamad dengan gabungan mana yang harus kita bersama atau mengadakan jalinan kesefahaman untuk kita bergerak dalam PRN Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas penggunaan logo pada PRN Melaka, Ahmad Zahid berkata, perkara itu masih belum dibincangkan secara rasmi namun menjangkakan Pas lebih selesa menggunakan logo sendiri seperti yang dilakukan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Kami tidak ada masalah kalau mereka mahu menggunakan logo yang mereka akan kemukakan. Itu adalah soal parti mereka.
“Namun tentunya BN dan rakan-rakan dalam gabungan parti-parti Barisan Nasional akan tetap menggunakan logo kami,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN dan rakan kerjasama akan menggerakkan jentera di peringkat akar umbi termasuk pusat daerah mengundi secara bersama meskipun bentuk gabungan masih belum dimuktamadkan.
“Kita telah merancang untuk menggerakkan jentera ini agar gelombang biru di Negeri Melaka ini akan benar-benar dapat diterjemahkan,” katanya.
Ditanya sama ada BN masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH), beliau menjawab ringkas ia masih terbuka.
“Kami sangat terbuka,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post PRN Melaka: BN muktamadkan gabungan selepas pengumuman SPR appeared first on Kosmo Online.






