
KUALA LUMPUR: Kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan parti lain hampir pasti, dengan tahap keyakinan disifatkan berada dalam ‘lingkungan 100 peratus’.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian bagi mengulas kerjasama dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
“Dia dalam lingkungan 100 peratus. Tak lebih daripada 100 peratus,” katanya ringkas pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Kelmarin, Barisan Nasional (BN) memberi bayangan sudah mempunyai rakan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka selepas rundingan mencapai 90 peratus persefahaman, namun menegaskan keutamaan diberikan kepada sekutu yang jujur dan tidak ‘menikam dari belakang’.
Soal parti mana yang menjadi pilihan BN untuk bekerjasama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun enggan memberikan perincian lanjut namun memberi bayangan parti yang boleh dijadikan sebagai kawan.
Dalam pada itu, Takiyuddin turut memaklumkan isu pembahagian kerusi kini masih dalam perbincangan, termasuk persiapan menghadapi PRN Melaka.
“Itu sudah berjalan lam antara kita dengan pihak yang bekerjasama dengan kita, kemudian satu lagi di kalangan parti-parti kami sendiri.
Kami membincangkan pembahagian dan membincangkan persiapan yang perlu dan rapi perlu dibuat oleh kami,” katanya.
Mengulas tentang penggunaan logo susulan PN kini sedang digantung, Takiyuddin berkata, pihaknya mempunyai cara lain untuk kekal bertanding jika logo berkenaan tidak dapat digunakan.
“Setiap perkara ini dia ada alternatifnya. Alternatif pertama, sudah tentulah logo Perikatan Nasional. Kalau tidak dapat, ada alternatif yang lain yang mana ia merupakan strategi yang tidak boleh diumumkanlah.
“Kalau tidak, tak jadi strategi. Kalau kita umum, dia jadi tragedi,” katanya.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatannya.
Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian melalui prosiding dalam kamar, bagaimanapun menolak permohonan PN untuk menggantung sementara notis dikeluarkan pada 22 September lalu, sehingga semakan kehakiman diputuskan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Oktober ini bagi mendengar permohonan PN untuk menggantung notis berkenaan.
Dengan keputusan mahkamah itu, PN kekal terhalang daripada menggunakan logo dan nama, serta semua kegiatan gabungan parti itu turut digantung sehingga pendengaran inter-parte (secara kedua belah pihak) didengar. – UTUSAN
The post Kerjasama PN dengan parti lain ‘lingkungan 100 peratus’ appeared first on Utusan Malaysia.




